Pak Jamal dan Azman Adnan pula tegur Zamsaham supaya kawal emosi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tunjukkan semangat kesukanan dan bukannya berbalah, menuding jari mencari kesalahan.

Itu saranan dua bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir dan Azman Adnan kepada semua pihak terutama pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham yang lantang mempertikai kedudukan skuad bolasepak kebangsaan dalam ranking dunia, baru-baru ini.

Masing-masing berpendapat Zamsaham perlu bijak kawal emosi agar dapat bersama-sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam membangunkan bola sepak negara.

“Hakikatnya apa yang penting ialah prestasi pasukan serta pemain dan apa yang saya lihat, itu juga ada peningkatan terutama dalam kemenangan pasukan negara ketika perlawanan Pra Piala Dunia sebelum pandemik COVID-19 melanda. Jadi apa isu dia (Zamsaham)?,” kata Jamal.

Tambahnya lagi, paling utama, kejayaan pasukan kebangsaan bergantung kepada keupayaan dan prestasi pemain yang dihasilkan oleh pasukan kelab negeri.

“Jadi beliau dan pemilik kelab di Malaysia ini seharusnya memikirkan cara menghasilkan pemain yang baik untuk disumbang kepada negara.

“Saya sarankan beliau harus kawal emosi, jangan meluahkan segala rasa di media sosial kerana apabila kita ni menuding jari pada seseorang, empat lagi menuding ke arah kita,” ujarnya.

Jamal Nasir juga sependapat dengan penganalisis sukan tanah air, Dr Pekan Ramli bahawa ranking skuad kebangsaan negara sedang meningkat semula, tidak menurun malah berada dalam momentum yang baik.

Lantaran itu, beliau mencadangkan Zamsaham jangan mudah menghentam kerana beliau perlu tahu dan sedar kelab atau persatuan dan FAM adalah satu keluarga yang mana semuanya di bawah naungan badan induk perlu bekerja-sama.

“Beliau juga harus tahu bahawa ada peraturan yang ditetapkan oleh badan induk mahupun organisasi di mana-mana sekalipun bahawa sebarang ketidakpuas hatian perlu dirujuk dalam mesyuarat dan tidak boleh diluahkan dalam media sosial.

“Seharusnya kita memikirkan apa yang lebih baik untuk bola sepak untuk berdepan isu COVID-19 yang mana itu yang sedang FAM dan MFL usahakan ketika ini.

“Sebagai pemimpin atau pemilik pasukan dia seharusnya menonjolkan kredibiliti yang lebih baik terutama dalam memberi maklumat dan mendidik penyokong dengan fakta,” kata Jamal Nasir.

Manakala Azman Adnan yang merupakan tonggak Harimau Malaya yang membawa skuad kebangsaan dalam ranking terbaik iaitu 75 pada 1993,
menekankan semua pihak jangan dibayangi sejarah dan sebaiknya menumpukan pada masa depan.

Tambahnya, setiap pasukan bola sepak tempatan mahupun pasukan M3 sebaiknya menjaga prestasi dan pasukan masing-masing kerana ia membabitkan prestasi pemain yang bakal menyarungkan jersi negara.

“Jangan mengaitkan atau mengheret perkara lain terutama perihal skuad kebangsaan dalam pertikaian membabitkan persatuan dengan mana-mana pihak mahupun badan induk.

“Anda perlu buktikan kejuaraan pasukan atau kelab dahulu, hasilkan pemain yang baik buat Malaysia, sila jaga periuk sendiri dan tak perlu jaga dua periuk.

“Apa yang penting sejak dua ke tiga tahun ini, dalam tempoh singkat ranking Harimau Malaya sedang naik semula dari 178 ke 153 bagi saya cukup memuaskan dan berkat kerjasama semua pasti ia akan meningkat lagi,” katanya lagi yang pada masa sama akui buat masa ini Harimau Malaya tiada perlawanan kompetitif mahupun persahabatan akibat pandemik COVID-19 menjadikan kedudukan ranking itu sukar berubah.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.