Pak Jamal : Tak kisahlah pakai kabel ke apa, Luqman Hakim memang pemain yang bagus

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Masalah kabel ke apa, itu nombor dua. Luqman juga ada potensi, bukan tak ada dan dia masih muda. Kalau diberi masa dan pendedahan yang lebih baik di Eropah, saya rasa tiada masalah.”

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail mengenai dakwaan pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin terpilih menyertai kelab Belgium KV Kortrijk melalui ‘kabel’ orang politik dan bukannya berdasarkan merit.

TMJ pada Jumaat lalu mendedahkan pemilik KV Kortrijk, usahawan terkemuka dari Malaysia Tan Sri Vincent Tan sendiri memberitahunya terpaksa mengambil Luqman Hakim bermain dengan kelab itu atas permintaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seorang lagi menteri yang dilabel Menteri ‘Tisu’ demi kepentingan politik.

“TMJ komen berdasarkan apa yang dia dapat dan kalau benar Tan Sri Vincent Tan sendiri yang yang bagi tahu, jadi betullah. Tapi itu perkara lain, benda yang positifnya adalah Tan Sri memberi ruang kepada anak Malaysia beraksi bersama kelabnya.

“Ini yang kita harapkan kepada rakyat Malaysia yang memiliki kelab di Eropah untuk membantu membawa pemain berbakat dari negara ini mendapat pendedahan berguna di sana kerana sebagai pemilik kelab, dia ada hak nak bawa sesiapa pun.”

Jamal menasihatkan Luqman agar tidak terkesan dengan apa yang dikatakan TMJ sebaliknya menjadikan ia motivasi seterusnya membuktikan bahawa dia memang layak bermain di Eropah.

“Tapi saya rasa Luqman memang seorang pemain muda yang berbakat dan inilah masa untuk dia menunjukkan segala kemahiran dia di sana. Anggap apa yang dikatakan sebagai satu cabaran, dia kena sentiasa positif dan tidak boleh patah semangat. Kalau dia boleh bawa diri dia di sana, dia boleh pergi jauh,” katanya dipetik dari BH Sukan.

Sebagai makluman, Luqman Hakim telah mendapat panggilan untuk menyertai KV Kortrijk bermula 16 Jun ini selepas perancangan asal untuk dia terbang ke sana pada Mac lalu terpaksa ditangguhkan kerana Covid 19.

Foto ehsan : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.