Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakPalsukan dokumen, FAM tutup pintu buat Kalonda

Palsukan dokumen, FAM tutup pintu buat Kalonda

Hasrat penyokong untuk menyaksikan kelibat pemain pertahanan berusia 22 tahun dari Congo, Marcel Kalonda untuk menyarung jersi Harimau Malaya berkecai selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menutup pintu buat pemain itu.

Ini berikutan salah satu dokumen penting untuk membuktikan pemain itu berdarah campuran Malaysia adalah tidak sahih selepas FAM membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

Menurut Setiausaha Agung FAM, badan induk itu telah memaklumkan kepada Marcel Kalonda mengenai syarat kelayakan untuk mewakili Harimau Malaya di bawah peraturan yang ditetapkan FIFA dan telah memberikan senarai dokumen dihantar kepada FAM bagi tujuan pengesahan dan penelitian kesahihannya, setelah mendapat tahu dia berminat bermain untuk Malaysia.

“Setelah menerima dokumen-dokumen lengkap yang diperlukan daripada Marcel Kalonda, FAM mengambil langkah seterusnya iaitu menghubungi pula pihak-pihak yang berkenaan bagi mendapatkan kesahihan terhadap dokumen-dokumen yang diterima, termasuk menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFOOT) dan wakil konsulat Congo di Malaysia serta berhubung dengan JPN bagi semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.

“Susulan itu, semalam (Isnin, 6 Julai 2020), FAM telah menerima surat maklum balas daripada JPN memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

“Selepas menghubungi Marcel Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya.

“FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan kami tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar-pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan.

“Adalah menjadi tanggungjawab FAM selepas mendapat sesuatu maklumat, untuk mengambil langkah susulan dengan melakukan siasatan, penelitian dan pengesahan sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi dan atas sebab itulah FAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung Kalonda sebelum ini,” ujar Stuart.

FAM juga menasihatkan semua pihak terutama netizen dan peminat bola sepak negara supaya tidak terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita mengenai seseorang pemain itu mempunyai darah campuran Malaysia.

“Ia perlu melalui proses pengesahan dokumentasi terlebih dahulu sebelum pemain itu boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

“Pada masa yang sama, FAM memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara.”

 

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.