Paralimpik : Kalau Bukan Kerana Cemburu

TOKYO, 30 Ogos -- Atlet powerlifting paralimpik negara, Jong Yee Khie melakukan angkatan pertama seberat 230 kilogram (kg) bagi kategori 107 kg pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA TOKYO, Aug 30 -- National paralympic powerlifting athlete, Jong Yee Khie performed the first weighing 230 kilogram (kg) for the 107 kg category during the Tokyo 2020 Paralympic Games at the Tokyo International Forum today. --fotoBERNAMA (2021) COPYRIGHT RESERVED
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Atlet powerlifting kebangsaan, Jong Yee Khie mendedahkan rasa cemburu terhadap kejayaan sensasi trio atlet olahraga negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) di Sukan Paralimpik Rio De Janeiro 2016 menjadi pencetus utama yang membakar semangatnya untuk memenangi pingat di Paralimpik Tokyo 2020.

Ketika di Rio 2016, ketiga-tiga atlet itu memenangi pingat emas manakala Yee Khie yang membuat penampilan sulung di temasya paralimpik sekadar menduduki tempat ketujuh bagi kategori 97kg.

Kali ini, dia berjaya memenuhi impian apabila merangkul pingat perak sekaligus menjadi atlet kedua negara menaiki podium di temasya Paralimpik Tokyo 2020 selepas Bonny Bunyau Gustin.

Atlet berasal dari Batu Kawa, Kuching itu menang perak bagi kategori 107kg dengan angkatan seberat 237kg pada percubaan kedua.

Dia sepatutnya memenangi emas jika tidak kerana percubaan ketiga dengan angkatan seberat 245kg dibatalkan pengadil sekaligus membolehkan atlet Mongolia, Sodnompiljee Enkhbayar memenangi emas.

Yee Khie mendedikasikan pingat dimenanginya sebagai hadiah Hari Kebangsaan yang akan disambut esok dan berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia terhadap sokongan diberikan kepada atlet paralimpik yang sedang berjuang di Jepun.

Sementara itu, Yee Khie jelas tidak dapat menyembunyikan perasaaan sebak apabila tidak dapat meraikan kejayaannya memenangi pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bersama ibunya, mendiang Chow Good Sing.

Mendiang Good Sing meninggal dunia akibat sakit jantung pada Oktober tahun lepas.

“Jika Sukan Paralimpik tidak dibatalkan kerana Covid-19 tahun lepas, emak sudah pasti melihat kejayaan saya, namun apakan daya emak telah pergi terlebih dahulu.

“Ketika di podium tadi, hati kecil saya memberitahu emak yang saya sudah berjaya raih pingat perak, harap dia dengar dan bangga dari atas sana,” katanya kepada Bernama.

Lebih menyedihkan, jadual latihan yang padat serta Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkannya tidak dapat berada di sisi ibunya menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun.

“Setibanya di Sarawak, saya hanya mampu mengikuti upacara sembahyang sebelum jasad emak dibakar,” tambahnya.




Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.