Pasang impian main dengan JDT sejak pertama kali jumpa TMJ

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula menyertai Johor Darul Takzim untuk memperkasa jentera serangan pasukan itu dalam apa yang boleh disifatkan sebagai perpindahan mengejut, pada minggu lalu.

Ia disifatkan mengejut kerana sepanjang pemain dari Brazil itu bermain di Liga Malaysia, tidak pernah ada khabar angin atau gossip mengaitkannya dengan harimau selatan.

Diketahui pula bukan mudah untuk seseorang pemain itu memikat pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim, apatah lagi pada usia 34 tahun.

Sedangkan Brendan Gan yang merupakan salah seorang pemain terbaik tempatan pun dianggap tidak cukup bagus oleh Tunku Ismail, inikan pula De Paula yang bukannya kategori ‘outstanding performer’ dalam Liga Malaysia.

Namun tiba-tiba dia tandatangan kontrak dengan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu lantas menjadi buah mulut ramai.

Ada yang mengatakan dia sekadar akan panaskan bangku simpanan, ada yang mengatakan dia akan bermain dengan JDT II dan ada yang mengatakan dia akan dipinjamkan ke Melaka United.

Namun pengendali JDT, Benjamin Mora tegaskan dia ada dalam perancangan skuad utama dan bakal diturunkan secara kerap, bukannya diperam.

Bagi De Paula sendiri, dia mengakui telah memasang impian bermain dengan JDT sejak pertemuan dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2014.

“Selepas tujuh tahun saya bertemu Boss (Tunku Ismail) buat kali pertama pada 2014, impian saya menjadi kenyataan, kini saya bergelar pemain JDT.

“Terima kasih kepada keluarga yang sentiasa berada di sisi saya, terima kasih kepada ejen saya yang melakukan tugas dengan cukup sempurna mendapatkan peluang hebat dalam karier buat saya. Saya tahu perjalanan masih panjang dan ia memerlukan komitmen maksima, kerja keras dan disiplin dari saya untuk kelab.

“Terima kasih atas kepercayaan, saya anggap ini sebagai langkah pertama untuk terus mara ke depan,” ujar Guilherme De Paula.

Sebagai rekod, De Paula diperkenalkan ke Liga Malaysia oleh Selangor pada 2015 di mana dia membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33.

Dia berhijrah ke kelab Greece pada 2016 sebelum membuat kemunculan semula ke Liga Malaysia pada tahun sama (jendela perpindahan kedua) bersama PDRM dan seterusnya menyertai Kuala Lumpur pada tahun berikutnya.

Selepas dua musim, Guilherme De Paula berhijrah ke Perak pada 2020, dinaturalisasi dan didaftar sebagai pemain tempatan sebelum buat keputusan angkat kaki meninggalkan pasukan itu di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021 kerana masalah tunggakan gaji.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.