“Pasukan lawan akan bagi 160 peratus untuk sekat kami” – Benjamin Mora

Benjamin Mora belum mahu dabik dada
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Belum masanya lagi untuk memikirkan tentang kejuaraan Liga Super.

Demikian tegas Benjamin Mora meskipun pasukannya Johor Darul Takzim kini berkelebihan enam mata di tangga teratas mengatasi pencabar terdekat Terengganu FC selepas tamat perlawanan ke-15.

JDT cemerlang membenam Selangor FC 3-1 di Petaling Jaya manakala Terengganu FC pula dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di tangan Melaka United pada Rabu.

Berita berkaitan : Sri Pahang seri lagi, Terengganu FC terciduk di Hang Jebat

Menurut Benjamin Mora pada sidang media selepas perlawanan, “Terdapat kombinasi keputusan dalam bolasepak, kami menang mereka (Terengganu) kalah.

“Untuk mendahului liga dengan enam mata adalah cukup bagus apatah lagi kami sudah nyatakan mahu menjadi juara sebelum liga bermula lagi tetapi perjalanan masih lagi jauh dan kami menghormati setiap lawan.

“Kita tahu bolasepak Malaysia agak sukar diramal, dan sentiasa mempunyai elemen kejutan. Kadang-kala pasukan di bawah akan beri yang terbaik hingga 160 peratus apabila menentang kami, dan kami sedar perkara itu.

“Jadi kami akan ambil perlawanan demi perlawanan dan selepas ini bersedia untuk perlawanan menentang Perak,” kata Benjamin Mora.

JDT melakar kemenangan kesebelas mereka musim ini menerusi jaringan Bergson da Silva, Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh manakala jaringan tunggal Red Giants dijaringkan Ifedayo Olusegun.

Sementara itu, pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel pula akur kekalahan terbaru sudah menutup peluang pasukannya untuk mengejar JDT namun percaya mereka masih boleh menamatkan saingan setidak-tidaknya di kedudukan tiga teratas jika memperkemaskan beberapa aspek.

“Kalau kita dapat lakukan hantaran yang lebih kemas dalam kotak penalti, saya kira peluang raih gol lebih terbuka. Hantaran perlu dikemaskan dan sentuhan penyudah juga perlu dibaiki selain transisi dalam permainan juga perlu dibaiki,” kata pengendali dari Jerman itu.

Selangor FC mengharungi fasa buruk di mana mereka tidak menang dalam empat perlawanan terakhir dan ketika ini di kedudukan kelima Liga Super dengan mengumpul 20 mata.

Jurang antara mereka dan pasukan tangga kesembilan Melaka United hanyalah lima mata.

Foto ehsan : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.