Pasukan mana yang akan menyambar khidmat Sharbinee Allawee?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pasukan Liga Malaysia yang memerlukan khidmat penjaga gol mungkin boleh cuba mendapatkan khidmat penjaga gol berpengalaman luas, Sharbinee Allawee Ramli yang belum mempunyai pasukan baru selepas kontraknya bersama Pahang berakhir tahun lalu.

Malah, penjaga gol berusia 34 tahun itu menyatakan kesediaan untuk terus mewarnai saingan Liga Malaysia 2021 jika mendapat tawaran sesuai yang menepati kehendaknya.

“Saya masih lagi boleh beraksi dan tidak langsung memikirkan untuk bersara biarpun belum lagi menandatangani kontrak bersama pasukan baharu musim ini. Ketika ini, saya masih lagi mencari pasukan untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain.

”Sebelum ini memang ada tawaran yang diterima daripada pasukan di Liga Super dan Liga Perdana. Namun, atas beberapa faktor saya terpaksa menolaknya dan kini sedang mencari pasukan kerana pendaftaran pemain sehingga Mac depan.

“Saya harap sebelum tempoh pendaftaran pemain berakhir, ada pasukan yang berminat dan sebagai pemain, komitmen dan prestasi terbaik akan dipersembahkan. Saya percaya rezeki bermain masih lagi terbuka luas,” katanya seperti dilaporkan Arena Metro.

Sebagai rekod, Sharbinee Allawee memulakan karier bolasepak professional bersama pasukan negeri kelahirannya Terengganu FC dan prestasi cemerlang ketika itu bersama sang penyu membolehkan dia dipanggil memperkuatkan pasukan kebangsaan Harimau Malaya.

Sharbinee Allawee berhijrah ke Selangor pada musim 2013 tetapi gagal untuk memenangi tempat secara regular dan kembali ke Terengganu pada musim 2014. Selepas empat musim, dia berhijrah pula ke Kuala Lumpur dan kemudiannya menyertai Pahang pada musim 2020.

Walaupun menjadi pilihan utama pada awal musim, Sharbinee Allawee kehilangan tempat kepada Helmi Eliza Elias dan diberitahu kontraknya tidak disambung Sri Pahang FC tatkala pasukan itu membawa masuk bekas penjaga gol PKNS FC dan Felda United, Zharif Irfan untuk menggantikan tempatnya.

Kejayaan terbesar karier pemain ini adalah memenangi pingat emas Sukan SEA Laos 2009 bersama skuad B-23 kebangsaan dan kemudian menjulang Piala AFF Suzuki 2010, manakala di peringkat domestik dia menjulang Piala FA pada 2011 bersama Terengganu FC, selain mempunyai medal naib juara Piala Malaysia 2011.

Usia 30-an bagi seorang penjaga gol bukanlah usia yang tua, dalam Liga Malaysia sendiri ramai penjaga gol yang cemerlang prestasi mereka walaupun berusia 30-an antaranya Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan Khalid (32), Farizal Marlias (35), Helmi Eliza (38), Norazlan Razali (36) dan Shahrizan Ismail (40, baru bersara).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.