Pasukan Milik Tengku Fahd Kandas Banjir Di Shah Alam Ketika Pra-Musim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bencana banjir yang berlaku di Shah Alam turut memberi kesan kepada persiapan pasukan futsal Pahang Rangers yang dalam persiapan menghadapi Malaysian Premier Futsal League 2022 pada bulan depan.

Pasukan milik Tengku Fahd Mua’adzam Shah itu turun buat kali keempat dalam tempoh sebulan ke Lembah Klang untuk perlawanan persahabatan pra-musim menentang PDRM pada Sabtu lalu.

Perlawanan yang berlangsung panas itu ditamatkan pada ketika kedudukan 2-2 bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dan mereka kemudian memutuskan untuk memendekkan trip ke Lembah Klang dari 4 hari kepada 3 hari.

“Mengikut perancangan kami sepatutnya pulang Ahad. Tetapi kerana menyedari beberapa tempat di Shah Alam mula dinaiki air, kami memilih mahu pulang pada Sabtu malam dan selepas cuti dua hari sambung latihan di Kuantan.

“Namun malang menimpa apabila banjir yang berlaku di Shah Alam menyebabkan seluruh pasukan terkandas. Dalam perjalanan pulang dari stadium selepas perlawanan, bas kandas atas jalan kerana kesesakan dan pemain-pemain terpaksa meredah hujan dan banjir sejauh beberapa kilometer untuk pulang ke hotel.

“Malah hotel juga dinaiki air menyebabkan keadaan sedikit kelam kabut apatah lagi pada malam itu bekalan eletrik diputuskan menyebabkan pasukan membatalkan rancangan untuk balik.

“Saya yang memandu sendiri, menghabiskan masa kira-kira 8 jam dalam kereta dan hanya tiba di hotel keesokan hari di mana air telah naik lagi tinggi.

“Apapun pemain-pemain menunjukkan kesatuan, saling berkomunikasi antara satu sama lain bagi memastikan keperluan seperti makanan mencukupi. Mereka meredah banjir untuk membeli makanan dan mendapatkan keperluan asas yang lain tanpa mengharapkan bantuan tiba.

“Malahan kami juga berterima kasih kepada sebuah keluarga di kejiranan bersebelahan yang memberi layanan mesra menjamu minum petang selain membenarkan pemain-pemain untuk cas telefon.

“Meskipun banjir belum surut, kami membuat keputusan untuk keluar dari Shah Alam dan bermalam satu malam di KL, dan kini memutuskan pulang ke Kuantan. Ia satu pengalaman baru sewaktu pra-musim dan kami mendoakan semuanya akan kembali pulih seperti biasa di Shah Alam,” ujar ketua jurulatih Gerard Casas.

Pahang Rangers yang muncul naib juara MPFL 2019 telahpun melepaskan beberapa pemain tonggak mereka bagi musim baru termasuk Khairul Effendy Bahrin dan Firdaus Ambiah.

Mereka dijadual memulakan misi merampas kejuaraan MPFL dengan menentang juara bertahan Selangor MAC pada 7 Januari di Kompleks Sukan Panasonic.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.