Pathiban si ‘Kinta Express’ mahu Perak terus tekan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain Perak dengan jolokan ‘Kinta Express’, J.Parthiban berharap permulaan positif ditunjukkan Perak dalam saingan Liga Super dapat diteruskan apabila saingan Liga Super 2020 kembali bersambung pada September depan.

Sebelum ditangguhkan pada Mac lalu, Perak bersama-sama pendahulu liga, Johor Darul Takzim merupakan dua pasukan yang belum tewas dalam saingan musim ini selepas mengharungi empat perlawanan. Perak bimbingan Mehmet Durakovic menduduki tangga kedua dengan lapan mata, dua mata di belakang JDT.

Justeru Parthiban mahu pasukannya terus menekan JDT sambil memberitahu peluang merebut kejuaraan terbuka luas dengan apa-apa boleh terjadi dalam tujuh perlawanan yang berbaki.

“Musim yang pendek akan menjadikan saingan lebih menarik. Memang mengharungi jadual padat tujuh perlawanan dalam sebulan akan memenatkan, tetapi jika kita merancang sesi latihan dan pemulihan dengan baik, ia tidak akan menjadi masalah.

“Selepas lebih tiga bulan menjalani latihan ringan secara sendirian, saya sudah tidak sabar untuk kembali berlatih dengan rakan sepasukan, dan kembali ke dalam permainan, mahu mencipta jaringan dan assist, membantu Perak melakukan yang terbaik dan kekal dalam pemburuan kejuaraan, seterusnya memenangi sekurang-kurangnya satu trofi,” ujar Parthiban dipetik daripada TheStar Online.

Perak dijangka mula menjalani latihan pada Isnin ini selepas melengkapkan semua empat syarat ditetapkan oleh Malaysian Football League.

“Berlatih sendirian secara tertutup ketika PKP memang sesuatu yang sukar, saya telah buat latihan tambahan ketika PKP dan turun ke padang berhampiran rumah ketika PKP dilonggarkan. Saya pemain yang bersandarkan kepada larian dan kelajuan jadi ia lebih mudah mendapatkan rentak apabila berlatih di padang.”

Mengenai prosedur ketat menjalani latihan termasuk tiada sentuhan dibenarkan, ini respon Parthiban.

“Ia sesuatu yang mencabar kerana sebagai pemain sayap saya akan sentiasa berdepan dengan sentuhan dan bentesan, tapi saya perlu bijak menyesuaikan diri. Sepanjang latihan tanpa sentuhan, saya akan cuba membina kekuatan jadi saya akan sentiasa bersedia untuk berdepan dengan pemain pertahanan,” ujar Parthiban yang turut pernah menyarung jersi Sarawak dan Terengganu FC.

Foto : Perak TBG

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.