Real Madrid terlepas peluang memotong Atletico Madrid di kedudukan teratas La Liga selepas sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Osasuna awal pagi Ahad.
Lebih menyakitkan hati pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, dia berpendapat perlawanan itu sepatutnya tidak diteruskan berikutan Sepanyol dilanda Ribut Filomena.
Perlawanan di gelanggang Osasuna di Pamplona itu berlangsung dalam keadaan yang cukup sukar bagi kedua-dua pasukan di mana salji sentiasa turun dan melitupi permukaan padang, namun pengadil meneruskan permainan kerana masih terdapat kawasan hijau.
Situasi itu juga menyaksikan barisan depan Real Madrid diterajui Karim Benzema, Eden Hazard, Tony Kroos dan Marco Asensio gagal merekodkan sebarang percubaan tepat pada babak pertama, dan menamatkan permainan dengan hanya satu percubaan tepat.
Malah sebelum itu, persiapan Real Madrid bagi perlawanan itu jelas bukan sesuatu yang ideal apabila mereka terperangkap dalam pesawat selama dua jam Jumaat lalu selepas salji yang melitupi landasan pesawat itu membuatkan penerbangan mereka terpaksa ditunda.
“Kami telah melakukan apa yang kami boleh lakukan di atas padang tetapi ia bukanlah perlawanan bola sepak, keadaannya amat sukar. Segala yang berlaku sepanjang dua hari ini amat rumit. Kami bermain perlawanan itu kerana mereka meminta kami bermain tetapi keadaannya sangat sukar,” ujar Zidane.
Tambahnya lagi, “Kami tidak tahu bila kami dapat pulang ke Madrid dan sejujurnya, kami hanya akan melihat bagaimana ia akan dihadapi. Amat jelas perlawanan menentang Osasuna ini sepatutnya ditunda. Amat jelas.
“Keadaannya tidak sesuai untuk bermain bola sepak, yang pada akhirnya, ia adalah sesuatu yang semua orang mahukan, termasuk kami, pasukan lawan dan semua orang.”
Satu mata di Osasuna bermakna Real Madrid kini mengumpul 37 mata selepas 18 perlawanan, satu mata di belakang Atletico Madrid, tetapi pasukan bimbingan Diego Simeone itu masih mempunyai tiga perlawanan dalam tangan.
Atletico juga boleh dikatakan lebih bernasib baik kerana perlawanan mereka menentang Athletic Bilbao yang sepatutnya berlangsung lebih awal pada hari yang sama ditangguhkan kerana salji tebal.