Patutlah Iskandar Zulkarnain Lama Menghilang Tanpa Khabar Berita

Iskandar Zulkarnain
Iskandar Zulkarnain
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Begitu lama tidak mendengar perkembangan bekas pemain perseorangan badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin terutama sejak dia bergelar pemain profesional.

Dia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia pada 2018 selepas 15 tahun bersama badan induk itu susulan bergelut dengan prestasi hambar dan dan membuat keputusan bergerak secara profesional bagi menyelamatkan kerjayanya yang semakin tenggelam.

Tanpa khabar berita untuk sekian lama, mungkin ada yang beranggapan Iskandar Zulkarnain sudah bersara sebagai pemain, tetapi pemain berusia 30 tahun itu sebenarnya kini berkelana di bumi Eropah dan dalam proses beralih ke bidang kejurulatihan.

“Sebenarnya sebelum ini saya ke Ireland untuk menjadi rakan sepelatih (sparring partner) dengan pemain perseorangan lelaki mereka Nhat Nguyen, sebagai persediaan untuk ke Olimpik Tokyo 2020.

“Bila kita buat komitmen bagus, jadi mereka seterusnya menawarkan saya untuk menjadi jurulatih kepada pemain perseorangan skuad kebangsaan bagi tempoh tiga bulan, mulai Oktober hingga Disember nanti bagi persiapan menghadapi Kejohanan Dunia.

“Bagaimanapun, saya ada bercakap dengan mereka bahawa saya masih bermain. Mereka setuju dan mahu melihat program latihan dahulu dan jika mereka gembira program berkenaan, saya harap khidmat saya disambung tahun depan pula,” kata pemain berasal dari Johor itu.

“Saya tidak pernah jangka (akan beralih ke bidang kejurulatihan) kerana sekarang ini pun saya masih dalam proses pembelajaran untuk menguruskan situasi dengan pemain dan pihak pengurusan.

“Ia akan menjadi satu perjalanan karier yang baru, sebagai pemain dan jurulatih dalam satu masa adalah sesuatu yang sukar tapi saya terima kesukaran itu sebagai satu cabaran dalam karier saya. Terima kasih yang mendoakan dan memberi kata-kata sokongan kepada saya,”

“Saya harap dapat belajar sesuatu yang saya tidak dapat pelajari di Malaysia ketika berada di Ireland nanti,” tambahnya.

Antara pencapaian terbaik Iskandar Zulkarnain sepanjang bergelar pemain kebangsaan adalah muncul naib juara Masters Malaysia 2016 selain membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada saingan Piala Thomas 2016 di Kunshan, China.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.