Paulo Josue, Tunjang Musim Terbaik KL City Dalam Saingan Liga Super

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Musim 2021 boleh dikatakan musim terbaik KL City FC dalam saingan Liga Super.

Dengan berbaki empat perlawanan untuk saingan liga musim 2021 melabuhkan tirai, mereka ketika ini berada di kedudukan keenam dengan 24 mata.

Pencapaian terbaik mereka adalah pada 2010, menduduki tangga kesembilan tetapi perkara yang lebih penting adalah mereka dilihat cukup konsisten berbanding musim-musim sebelumnya.

Mereka juga belum tewas dalam sembilan perlawanan di tempat sendiri, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Dan jika ada seorang pemain yang wajar diangkat sebagai nadi dan tunjang utama mereka, ianya tidak lain pemain import Paulo Josue.

Bukan sahaja memainkan pengaruhnya sebagai kapten dengan cukup baik, tetapi lebih dari itu Paulo Josue tampil dengan prestasi peribadi terbaiknya sepanjang lima tahun menyarung jersi KL City.

Dia terlibat dalam 13 daripada 21 jaringan dihasilkan KL City musim ini – menutup dengan baik kelompongan KL City yang tiada penyerang di dalam pasukan – berikutan kehilangan Kyrian Nwabueze kerana kecederaan – dengan menjaringkan sembilan gol dan melakukan empat assist.

Berita berkaitan : KL City Nak Naturalisasikan Paolo Josue Sebab Nak Bantu Harimau Malaya

Jumlah jaringannya itu merupakan jumlah tertinggi sepanjang bersama KL City bermula 2017 – pencapaian terbaik Paulo Josue sebelum ini adalah tujuh gol pada musim 2018 dan secara keseluruhannya dia telah menjaringkan 36 gol bersama KL City FC.

Dia boleh dilabel pakar sepakan percuma di Liga Malaysia berikutan sebahagian besar jaringannya dihasilkan melalui situasi sedemikian dan pemain dari Brazil itu jelas gembira melihat apa yang disaksikannya di KL City ketika ini terutama melihat kepada kestabilan prestasi pasukan.

“Musim ini boleh saya katakan pihak pengurusan lebih bijak dalam pencarian pemain malah mendapatkan seorang jurulatih (Bojan Hodak) yang begitu berpengalaman mengenai Liga Malaysia.

“Dia mengetahui banyak maklumat tentang pemain-pemain dari pasukan lain serta jangkaan strategi dan ini memberikan kelebihan tambahan kepada kami.

“Biarpun kami beraksi tanpa penyerang dalam kebanyakan perlawanan, saya tetap rasakan ini adalah musim terbaik yang pernah dilalui dengan pasukan.

“Sebelum ini pada musim 2018 saya rasa kami miliki skuad yang baik namun tidak begitu seimbang kerana walaupun berjaya menjaringkan banyak gol namun dalam masa kami dibolosi dengan angka yang tinggi.

“Kekuatan di bahagian pertahanan turut menjadi salah satu faktor kenapa kami mampu berada di tahap ini dan malah saya rasakan benteng pasukan KL City antara terbaik di dalam liga pada masa sekarang,” kata Paulo Josue.

Pemain berusia 32 tahun itu juga mengakui tidak terbeban menjadi sandaran memburu jaringan biarpun dia bukannya penyerang tulen.

“Saya dan Romel Morales lebih banyak beraksi di bahagian hadapan, biarpun kami berdua bukanlah seorang penyerang tetapi kami cuba sebaik mungkin untuk bantu pasukan.

“Rakan-rakan sepasukan juga membantu seperti J.Partiban, Hadin Azman dan Zhafri, malah Bojan memberikan kebebasan kepada kami apabila dalam situasi lakukan serangan.

“Mungkin secara kebetulan peluang lebih banyak untuk saya bagi mendapatkan jaringan dan saya gunakan saat itu bagi membantu pasukan.

“Saya juga selepas sesi latihan sering kali melakukan inisiatif sendiri dalam situasi sepakan percuma bagi mempertajamkan keupayaan saya dengan turut meminta bantuan penjaga gol, perkara ini sedikit sebanyak membantu diri saya dalam tiap perlawanan,” kata Paulo Josue.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.