Pekerja bank jadi orang no.1 bolasepak Malaysia, ini bukan kisah dongeng!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pekerja bank bergelar orang nombor satu bolasepak Malaysia, ia bukan kisah dongeng!

Pada 14 Julai 2018, sejarah baru tercipta dalam arena bolasepak tanah air apabila Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru bagi penggal 2017-2021 sejurus berakhir Kongres Tahunan FAM ke-54.

Dan beliau akan kekal sebagai Presiden FAM bagi penggal 2021-2015 setelah tidak ada mana-mana individu dicalonkan mahupun mencalonkan diri untuk mencabar jawatannya itu pada Kongres FAM Ke-57 yang akan berlangsung bulan depan.

Datuk Hamidin adalah setiausaha agung pertama, dan ‘orang biasa’ pertama untuk menduduki kerusi nombor satu FAM itu.

Enam presiden terdahulu, sama ada merupakan orang politik ataupun kerabat diraja.

Datuk Hamidin hanyalah seorang pekerja bank yang merupakan penyokong tegar bolasepak Selangor, malah ketika aktif terlibat bersama Kelab Penyokong Bolasepak Selangor kira-kira 30 tahun lalu, dia sendiri pastinya tidak menyangka ia akan membawanya untuk berada di kedudukan ini.

Beliau berkhidmat di tiga buah bank sepanjang 11 tahun iaitu Bank Pertanian Malaysia (1984 – 1985), Malayan Banking Berhad (1985 – 1991) dan Perwira Habib Bank Berhad (1991 – 1995).

Nama Datuk Hamidin semakin dikenali dalam arena bolasepak setelah beliau meninggalkan bidang perbankan dan menyertai Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebagai Setiausaha Eksekutif pada 1 Ogos 1995 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 1 Januari 1998  – jawatan yang disandangnya selama 15 tahun sehingga 2013.

Dalam tempoh 18 tahun bersama FAS itulah Datuk Hamidin berjaya untuk mengembangkan bakat kepimpinan dan mengukuhkan ‘CV’ nya dalam bidang pentadbiran bolasepak. Beliau berjaya untuk membina imej serta reputasi cukup baik yang dikagumi ramai.

Sewaktu bersama FAS, Datuk Hamidin pernah banyak terlibat di dalam jawatankuasa-jawatankuasa FAM antaranya sebagai Exco FAM dari 2007-2010 dan Naib Presiden dari 2010-2014, tidak ketinggalan sebagai pengurus pasukan futsal, pasukan B-23 kebangsaan dan pasukan kebangsaan.

Hamidin Mohd Amin Pekerja bank jadi orang no.1 bolasepak Malaysia, ini bukan kisah dongeng!

Begitupun pada 27 Jun 2013, Datuk Hamidin ‘berhijrah’ terus ke FAM apabila dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM yang baru oleh Presiden ketika itu, Sultan Ahmad Shah sebagai menggantikan Datuk Azuddin Ahmad. Dengan pelantikan ini juga, beliau terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden FAM, Pengerusi JKPT FAM, serta jawatan di FAS.

Meskipun tiga kali kerusi presiden bertukar pemilik dari Sultan Ahmad Shah kepada Tengku Abdullah dan kemudiannya Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kepercayaan terhadap kredibiliti Datuk Hamidin tidak terhakis.

Maka tidak hairanlah sejurus melepaskan jawatan pada 25 Mac 2018, Tunku Ismail membuat kejutan apabila menamakan Datuk Hamidin sebagai individu paling layak untuk menggantikan tempat baginda.

Menurut Tunku Ismail, Datuk Hamidin berpengalaman luas dan mengetahui selok-belok dalam bolasepak dengan cukup arif sambil menegaskan ia bukan sesuatu yang baru untuk Setiausaha Agung dilantik sebagai Presiden kerana  mereka memahami sistem bolasepak itu.

Malah baginda mengakui mempunyai hubungan baik dengan Hamidin dan meminta semua ahli gabungan untuk memberikan sokongan kepada Hamidin kerana ianya akan memudahkan kerjasama antara FAM dan Malaysia Football League (MFL) – Tunku Ismail ketika itu Pengerusi MFL.

Tokoh-tokoh sukan tanah air pula berpendapat Datuk Hamidin calon paling layak kerana mempunyai hubungan baik dengan persatuan bolasepak luar negara serta badan-badan seperti AFF, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).

Dan pada 14 Julai, Datuk Hamidin secara rasmi bergelar Presiden, menang tanpa bertanding selepas dua calon Datuk Seri Azim Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa menarik diri.

Menerima pelbagai anugerah dan darjah kebesaran

Pada Januari 2020, Datuk Hamidin menerima anugerah Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua (DMIJ) daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau juga pernah dianugerahkan kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ daripada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2009; serta darjah kebesaran Darjah Sharafuddin Idris Shah (DSIS) daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2012 selain turut menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Selangor pada 1999 dan Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada 2002.

Begitulah kisah perjalanan seorang pekerja bank yang akhirnya menjadi orang nombor satu bolasepak Malaysia. Hamidin membuktikan ia bukan angan Mat Jenin.

Foto kredit : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.