Peluang Ramly Burger, Otai Burger rancakkan Liga Malaysia dan kembangkan jenama

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Kalau Zamburger (Norizam Tukiman) boleh beli pasukan Kelantan, saya rasa Ramly Burger atau Otai Burger pun boleh buat perkara sama, bukan sahaja untuk merancakkan arena bolasepak tempatan tetapi dalam masa sama ia memberi nilai tambah kepada jenama mereka.”

Demikian menurut ketua jurulatih yang juga pemilik UKM FC, Sulaiman Hussin yang tidak berselindung di dalam menyatakan harapan supaya dua pengusaha itu sudi bekerjasama dengan UKM FC sama ada sebagai penaja ataupun membeli sebahagian besar saham kelab itu.

Pada bulan lalu, Norizam Tukiman, pengusaha burger dan pakar pelaburan terkemuka dari Johor membeli sepenuhnya saham pasukan Kelantan sekaligus menjadi pemilik pasukan itu pada bulan lalu.

Menurut Sulaiman, return of investment (pulangan perniagaan) daripada penajaan ini adalah cukup besar kepada dua syarikat itu dan dalam masa yang sama mereka boleh membantu kelab untuk terus bernafas.

“Bagi saya permintaan makanan tak pernah kurang dan orang akan sentiasa cari, jadi kalau Ramly burger atau Otai burger jadi penaja UKM FC atau pemegang saham mereka boleh dapat pelbagai kelebihan. Tidak kisah sama ada sebahagian saham atau keseluruhan saham, saya alu-alukan.

“Contohnya macam Zamburger sekarang, boleh dikatakan satu negeri Kelantan dah ada kedai Zamburger. Cuba bayangkan kalau mereka (Ramly burger atau Otai burger) bersama UKM FC, mungkin boleh jual dalam kampus UKM dan di HUKM, malah di stadium ketika matchday.

“Mereka adalah jenama yang cukup ulung, melibatkan diri dalam Liga Malaysia boleh memberi satu added value (nilai tambah) dan meningkatkan nilai komersial mereka. Jadi ini peluang terbaik dan saya harap ia boleh menjadi kenyataan,” ujar Sulaiman ketika dihubungi Labola Malaya.

Sebagai rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengesahkan bahawa UKM FC telah berjaya melengkapkan dokumentasi untuk pelesenan dan penswastaan pasukan mengikut tarikh akhir ditetapkan, di mana mereka akan diuruskan Varsity Boys Sdn Bhd milik Sulaiman bermula musim 2021.

Seperkara yang menjadi kebimbangan adalah kekuatan kewangan mereka, tetapi Sulaiman percaya isu itu akan dapat diatasi apabila ada penaja tampil bekerjasama dan untuk tujuan itu pihaknya giat mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat swasta yang berminat.

Cabaran UKM FC bagi musim ini telahpun berakhir dengan kemenangan 2-1 ke atas Perak II dalam aksi terakhir Liga Premier, yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tangga kesembilan namun gagal layak ke Piala Malaysia, dikecewakan Kelantan United pada saat akhir.

Foto : mymetro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.