Peluang Terbaik KL City Tambah Derita Selangor

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

KL City beroleh peluang terbaik untuk menambah derita Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada Jumaat ini.

Selangor ketika ini sedang melalui fasa sukar apabila tidak menang dalam tiga aksi terakhir – tewas kepada JDT dan Melaka United serta seri menentang Sabah.

Malah rekod pertemuan dengan KL City juga tidak berapa cantik apabila skuad Michael Feichtenbeiner itu tidak pernah menang dalam lima pertemuan terakhir justeru seakan memberi kelebihan kepada skuad warga kota untuk meneruskan dominasi.

Begitupun, ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak, enggan menjadikan rekod lalu ke atas seteru Lembah Klang itu sebagai ukuran sambil menyatakan ia bukan alasan untuk mereka diangkat sebagai pilihan.

Tambahnya, aksi kedua-dua pasukan sering kali berlangsung sengit dan peluang tampak seimbang buat Selangor atau KL City bagi memenangi perlawanan.

“Sudah lima kali kami bertemu dari musim lalu dengan KL City menang dua daripadanya dan seri tiga kali.

“Walaupun pasukan saya belum pernah tewas kepada Selangor tetapi semua perlawanan berlangsung dengan sengit dan sesiapa sahaja boleh menang.

“Ditambah sentimen Lembah Klang ‘derby’, sudah pasti kedua-dua pasukan mahukan kemenangan bagi saingan Piala FA kerana kejohanan ini sangat berbeza dengan liga.

“Namun saya boleh katakan tekanan buat masa ini memihak kepada Selangor kerana dengan bajet yang lebih besar dan penyokong lebih ramai, sudah tentu mereka amat mengharapkan kemenangan,” katanya.

Sebagai rekod, KL City menang dua kali semasa di saingan suku akhir Piala Malaysia 2021 selain tiga kali dalam tiga perlawanan Liga Super dari 2021 hingga 2022.

Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan mereka terikat 3-3 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 4 Mac lalu.

Sementara itu, Hodak mengesahkan KL City berpeluang menurunkan penyerang import baharunya yang dipinjam dari Terengganu FC, Jordan Mintah.

Justeru, beliau mengharapkan Mintah mampu menambah sengat di jentera serangan bagi membantu Romel Morales selain dibantu Paulo Josue dan Zhafri Yahya.

“Saya boleh turunkan Jordan Mintah dalam perlawanan ini cuma dia masih perlukan masa untuk dapatkan persefahaman dengan pemain lain.

“Dia bakal mengambil tempat Kevin Koubemba dan diharapkan kehadirannya boleh membantu dalam aspek variasi serangan pasukan.

“Semua pemain berada di tahap terbaik kecuali pemain sayap, J.Partiban yang mungkin terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan, ” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.