Pemain Batu Dua FC kunci mulut kerana terikat syarat ala ‘3 Abdul’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Susulan dakwaan bahawa pemain Batu Dua FC (B2FC) sudah empat bulan tidak menerima gaji, La Bola cuba menghubungi beberapa orang pemain bagi mendapatkan cerita sebenar daripada mulut mereka sendiri.

Tapi, usaha itu gagal apabila pemain tidak memberi kerjasama, ada antaranya langsung tidak menjawab panggilan atau mesej dan ada pula walaupun menjawab namun mengambil sikap mengunci mulut bila diajukan soalan ini.

Sebaliknya, mereka sekadar menjawab: “Minta maaf, saya tidak boleh komen.”

Selepas La Bola merisik dengan beberapa sumber lain yang rapat dengan kelab itu, barulah mendapat jawapan mengapa pemain keberatan untuk membuat sebarang komen berkaitan isu gaji.

La Bola diberitahu, pemain tidak berani tampil untuk membuat sebarang kenyataan kerana mereka terikat dengan satu syarat dikenakan penaja ke atas mereka.

Syarat itu antara lain melarang pemain membuat kenyataan kepada media berkaitan sebarang isu mengenai gaji dan jika mereka melanggar perjanjian itu, mereka berdepan hukuman tidak akan dibayar gaji.

Perjanjian ini tidak ubah sebagaimana perjanjian antara Tuan Sadiq Segaraga dengan Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem ‘3 Abdul’ arahan Tan Sri P Ramlee yang membolehkan Sadiq menjual kedua-dua menantunya itu bila mereka marah.

Inilah situasi yang sedang dilalui oleh pemain-pemain B2FC, jika mereka membuka mulut mendedahkan kepincangan yang berlaku, mereka bakal menerima nasib sebagaimana Abdul Wahab dan Abdul Wahib.

Perjanjian ini ternyata berat sebelah kerana yang menanggung akibat adalah pemain sedangkan satu pihak boleh berbuat sesuka hati ke atas pemain.

Terdahulu, Batu Dua FC difahamkan berada dalam keadaan tenat dan mungkin ‘berkubur tanpa batu nisan’ jika kemelut kewangan yang melanda kelab itu gagal diatasi dalam masa terdekat.

Menurut sumber, kelab yang berpengkalan di Chukai, Terengganu itu bukan saja berdepan masalah tunggakan gaji pemain yang menjangkau empat bulan, malah sudah kehabisan dana untuk meneruskan perjuangan dalam Liga M3 musim ini.

Malah, jika gagal mendapatkan dana daripada penaja mereka, Tulangis Group, Batu Dua FC berkemungkinan besar tidak akan terbang ke Kuching untuk berdepan Kuching FA, Sabtu ini dan lebih buruk, mereka mungkin terpaksa menarik diri daripada Liga M3 dan ‘menutup kedai’ jika situasi sebegini berterusan.

Kata sumber itu, kelab berkenaan benar-benar dalam keadaan terdesak sekali gus menjejaskan semangat pemain namun mereka masih mahu meneruskan perjuangan dengan harapan gaji mereka dibayar walaupun lewat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.