Pemain gantian tak cukup bagus bikin Bojan Hodak bimbang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak mengakui bimbang dengan tabiat pasukannya melepaskan gol pada minit-minit akhir perlawanan, sehingga menyebabkan mereka mencicirkan mata berharga dalam saingan Liga Super 2021.

Kesemua empat perlawanan terakhir bermula dengan menentang PJ City, disusuli Sri Pahang, Terengganu dan yang terbaru ketika tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) menyaksikan KL City bolos pada minit akhir.

Mereka juga melepaskan gol minit akhir ketika menentang Selangor dalam aksi ketiga, dan dalam lima perlawanan ini hanya satu sahaja kemenangan dicatat iaitu ke atas Sri Pahang.

Bojan Hodak telah mengenalpasti dua punca utama, pertama pemain hilang fokus dan kedua pemain gantian yang dibawa masuk gagal memberi impak yang diharapkan.

“Daripada semua perlawanan ini, mungkin berdepan Terengganu FC antara situasi yang berada di luar kawalan kita kerana jaringan yang dilakukan oleh Makan Konate cukup cantik.

“Namun, beberapa perlawanan lain seperti dengan PJ City dan Selangor, semuanya ada kaitan dengan tahap konsentrasi pemain dan kami sedang cuba perbaiki masalah ini.

“Begitu juga semasa dengan Sri Pahang, walaupun kami menang 2-1 namun gol yang dijaringkan oleh lawan juga pada masa kecederaan, manakala dengan Kedah, saya tidak mahu ulas lanjut.

“Apa yang saya boleh katakan mengenai perkara ini selain fokus pemain, saya lihat mereka yang dibawa masuk dari bangku simpanan tidak dapat berikan impak sama seperti pemain utama bila dibawa masuk dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.

Skuad warga kota ketika ini berada di tangga kelapan Liga Super selepas mencatat tiga kemenangan dan tiga seri dalam 10 perlawanan.

KL City FC bakal berdepan cabaran terbesar mereka pada Jumaat ini apabila menerima kunjungan pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi melengkapkan aksi pusingan pertama Liga Super.

Begitupun Bojan Hodak akur sekali lagi tidak dapat menurunkan penyerang utama, Dominique Da Slyva yang terpaksa disisihkan dua minggu kerana kecederaan di bahagian ligamen kaki.

“Dominique sememangnya pemain yang cukup penting kepada pasukan, tanpanya kami tidak banyak pilihan selain Romel Morales, namun dia lebih sesuai bertindak selaku pembantu di bahagian serangan.

“Selain itu, saya mungkin menimbangkan Safee Sali dan mana-mana pemain di bahagian tengah yang boleh bertindak selaku penyerang seperti Paulo Josue.

“Berdepan JDT, saya faham mereka pasti datang dengan situasi yang lebih bersemangat selepas kalah tempoh hari tetapi perkara ini amat baik kepada kami.

“Tekanan mungkin akan dirasai oleh mereka dan situasi adalah normal dalam bola sepak, jadi kami cuba yang terbaik berikan saingan kepada JDT, ” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.