Dua perlawanan, dua kemenangan – nampaknya pengendali sementara Melaka United, Asri Ninggal tidak mengambil masa lama untuk membawa impak positif.
Sebelum ini, Asri yang mengambil alih tugas dari Risto Vidakovic membantu Melaka United melakar kemenangan pertama dengan menewaskan Sri Pahang 2-1 di tempat lawan.
Kali ini dia membimbing pasukan itu mencatat kemenangan kedua dengan bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menewaskan Kedah Darul Aman FC 3-2, juga di tempat lawan.
Ternyata, Melaka United tampak berbeza selepas dipegang oleh Asri Ninggal, dan dia memuji komitmen serta semangat tidak berputus asa pemainnya yang tidak mahu berpuas hati dengan keputusan seri dan cuba mencari jaringan sehingga minit akhir perlawanan.
“Saya tengok 20 minit akhir Kedah macam pancit, jadi saya buat pertukaran pemain hingga berhasil mengawal semula permainan. Apa yang penting dan terbukti, pemain telah mengikut taktikal diberikan dan mereka bermain bersunguh-sungguh hingga kita menang malam ini,” ujarnya selepas perlawanan.
Pada aksi di Stadium Darul Aman itu, Kedah bimbingan Aidil Sharin Sahak terlebih dulu di depan pada minit ke-20m menerusi jaringan Ronald Ngah namun kelebihan itu hanya bertahan tiga minit apabila Ifedayo Olusegun mengikat kedudukan.
Penyerang kebangsaan Syafiq Ahmad mengembalikan kelebihan buat tuan rumah menerusi jaringan cantik pada minit ke-37 namun kedudukan kembali terikat menerusi jaringan Emanuel Otti.
Ketika perlawanan dilihat menuju seri, Ifedayo muncul pemusnah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit kedua masa kecederaan sekaligus menghadiahkan Kedah kekalahan ketiga musim ini.
📹 HIGHLIGHTS: @kda_fc 2-3 @MelakaUnitedFC
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) May 6, 2022
Dua gol pada lewat perlawanan membolehkan Melaka United bangkit untuk kemenangan ini.
Ifedayo Omosuyi (2) dan Emmanuel Oti menjaringkan gol Melaka, manakala gol KDA dijaringkan oleh Ronald Ngah dan Syafiq Ahmad.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/szcItH8s61
Sementara itu, Aidil Sharin pula berkata, faktor utama membawa kepada kekalahan kedua berturut-turut pasukannya adalah kerana pemain hilang fokus dan tidak belajar daripada kesilapan lepas.
“Banyak kesilapan mudah dilakukan dan mereka masih tidak belajar kesilapan yang dilakukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Apabila gol kedua Melaka, pemain mula ‘down’ (lemah), hilang tumpuan, hilang kawalan bola.
“Dalam bola sepak kita tahu kena beri tumpuan 90 minit perlawanan dan pemain hilang fokus. Saya kecewa perlawanan malam ini.”
Tambahnya, “Mereka (penyokong) jangkakan kami bangkit pada perlawanan ini dan dapat tiga mata tapi kami tidak dapat lakukan. Maaf buat peminat dan mungkin pihak pengurusan kena tengok sesuatu.”