Pemain masih menanti khabar gembira untuk futsal, apa perancangan FAM?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tatkala pemain-pemain bolasepak sudah turun berlatih dan menanti sepak mula Liga Malaysia sama ada pada bulan Ogos atau September (bergantung kepada keputusan Malaysian Football League), lain pula ceritanya bagi sukan futsal.

Pertandingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2020 telah dibatalkan dan sehingga kini belum ada perkembangan mengenai apakah perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tonggak Pahang Rangers yang juga kapten pasukan kebangsaan Khairul Effendy Bahrin mengharapkan akan segera ada khabar gembira dari kerajaan serta FAM bagi membantu pasukan membuat perancangan.

“Syukur keadaan sudah semakin pulih, tahniah kepada kerajaan atas usaha yang telah diambil. Selepas PKP berakhir saya masih berlatih sendiri seperti melakukan jogging, workout dan sejak futsal dibenarkan bermain saya berlatih tiga kali seminggu.

“Kini harapan besar adalah supaya kerajaan membenarkan pasukan futsal pula untuk menjalani latihan penuh secara kontak kerana setakat ini latihan di dalam gelanggang tertutup belum dibenarkan.

“Dalam masa sama harap ada perkembangan mengenai MPFL daripada FAM, ia akan memudahkan pasukan membuat perancangan lebih rapi. Lagipun sudah tentu ‘return to futsal’ akan menjadi lebih mencabar kerana sudah lama tak bermain, touching dan feel tu dah hilang, untuk dapatkan balik touching tu akan ambil masa lama.”

BIMBANG MOMENTUM HILANG

Seorang lagi pemain tonggak Pahang Rangers, Awalluddin Mat Nawi turut berkongsi pendapat sama.

“Kita semua masih menanti perkembangan tentang futsal, kerajaan telah memberi kebenaran kepada beberapa sukan untuk dimainkan semula bermula 15 Julai, manakala Liga Malaysia diberi kebenaran untuk disambung 15 Ogos, tetapi belum ada khabar berita mengenai futsal.

“Apapun, kita sabar menunggu berita gembira, berharap semoga kemeriahan futsal itu kembali. Rindu nak turun berlatih dan bermain, rindu suasana dan persekitaran Pahang Rangers.

“Selepas PKP saya cuba mendapatkan kecergasan di luar rumah, berjogging, bermain futsal di waktu petang untuk dapatkan sentuhan,” ujarnya.

Pemain kelahiran Kelantan itu juga mengakui faktor lama tidak beraksi dan menjalani latihan secara sempurna, akan merencatkan momentum sekaligus tidak boleh mengharapkan slot automatik untuk berada di dalam pasukan.

“Cabaran paling besar ialah mengekalkan momentum bila dah kembali training dan merebut tempat di dalam pasukan. Sudah tentu saya perlu bekerja lebih keras untuk berada dalam perancangan jurulatih. Siapa yang menunjukkan usaha, sudah tentu dia yang akan mendapat tempat jadi saya tahu saya perlu berusaha.”

Foto : Pahang Rangers FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.