“Pemain Naturalisasi Tidak Boleh Disisihkan, Sebagai Rakyat Malaysia Mereka Perlu Bermain”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Harimau Malaya tidak boleh sama sekali menyisihkan trio pemain naturalisasi – Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi – dari skuad Piala AFF 2021.

Bekas pemain kebangsaan Khalid Ali berpendapat tiga pemain itu menawarkan kelebihan tersendiri kepada skuad TaN Cheng Hoe dan ia adalah satu kesilapan jika mereka tidak dipanggil hanya kerana prestasi buruk dalam beberapa perlawanan.

Paling teruk menjadi sasaran kritikan adalah De Paula yang telah beraksi lima perlawanan termasuk dalam aksi persahabatan antarabangsa minggu lalu dan tidak langsung menunjukkan dia ada kualiti untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Manakala Liridon Krasniqi pula tidak dipanggil kali ini selepas penampilan hambar di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun lalu, dan Sumareh pula ‘direhatkan’ bagi memberi ruang pendedahan kepada pemain baru.

“Saya tahu ramai penyokong yang tidak berpuas hati dengan prestasi de Paula. Tetapi saya percaya dia masih memberi sumbangan kepada pasukan negara pada Piala Suzuki.

“Bagi saya, baik Sumareh, Liridon mahupun de Paula, mereka memang wajar dipanggil membantu pasukan negara. Ketiga-tiga pemain itu kini rakyat Malaysia dan mereka seharusnya membantu pasukan negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, mereka bertanggungjawab untuk beraksi dan membantu pasukan negara sama ada dalam persahabatan atau mana-mana kejohanan yang disertai.

“Mereka juga seharusnya menyahut panggilan untuk mewakili pasukan negara jika dipanggil. Itulah sebabnya mereka diambil sebagai pemain naturalisasi yang bertujuan untuk memperkuatkan pasukan negara,” kata Khalid Ali kepada Sukan Sinar.

Khalid Ali juga menasihatkan Cheng Hoe supaya tidak tunduk kepada desakan atau permintaan penyokong, sebaliknya membuat penilaian sendiri tentang De Paula mahupun pemain naturalisasi lain.

“Coach Tan harus bijak dalam menangani situasi yang berlaku ini. Jangan terlalu memikirkan apa yang diperkatakan oleh pihak di luar sana kerana beliau lebih arif dalam pasukan negara.

“Beliau masih mempunyai masa untuk memilih pemain yang benar-benar mampu memberikan sumbangan kepada pasukan negara. Sebaiknya biarlah beliau menilai dulu kemampuan setiap pemain,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.