Pemain Positif Covid-19, Sri Pahang Tarik Diri Demi Keselamatan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pasukan Sri Pahang FC membuat keputusan menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan persahabatan pra-musim Piala Menteri Wilayah Persekutuan pada Khamis ini, selepas beberapa pemain mereka diuji positif Covid-19.

“Dengan berat hati, dimaklumkan bahawa Sri Pahang FC telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada beraksi di perlawanan persahabatan pra-musim Piala Menteri Wilayah Persekutuan menentang KL City pada 17 Februari ini.

“Keputusan ini terpaksa diambil setelah beberapa pemain kami didapati positif Covid-19 dan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjalani kuarantin wajib.

“Kami memahami keputusan ini pastinya mengecewakan penyokong namun kesihatan dan keselamatan awam serta semua yang bakal terlibat di dalam perlawanan ini adalah menjadi keutamaan pada ketika ini.

“Kami juga memohon maaf kepada penganjur atas keputusan minit akhir ini dan mengharapkan persiapan KL City untuk aksi Piala Sumbangsih (menentang JDT) pada 26 Februari tetap berjalan lancar,” jelas kelab itu dalam satu kenyataan.

Sri Pahang diketahui antara pasukan yang gah membuat persiapan bagi menghadapi musim baru dengan membawa masuk tidak kurang dari 10 pemain baru termasuklah empat import iaitu Johan Martial, Mahmoud Za’tara, Mamadou Samassa, Billy Ketkeophompone selain beberapa pemain tempatan seperti Azwan Aripin, Wan Amirzafran Wan Nadris dan David Rowley.

Mereka juga mendapat semula sentuhan Lee Tuck dan Sergio Aguero yang dipinjamkan kepada pasukan lain pada musim lalu, dengan kedua-duanya bakal dinaturalisasikan dan didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Skuad bimbingan Christophe Gamel itu telah beraksi dalam tujuh perlawanan pra-musim sejak kembali menjalani latihan pada Januari iaitu menentang KL Rovers (1-1); Persatuan Bolasepak Universiti (2-0); Perak FC (1-2); Terengganu II (2-1); Penang FC (0-3); Terengganu FC (1-3) dan terbaru PDRM (2-2) pada Sabtu lalu.

KL City bimbingan Bojan Hodak pula baru bermain dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Johor Darul Takzim II dan Skuad Malaysia B-23 dengan kedua-dua perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Pasukan juara Piala Malaysia 2021 itu akan menyepak mula tirai saingan musim baru dengan turun beraksi dalam Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah menentang juara Liga Super, JDT pada 26 Februari di Stadium Sultan Ibrahim.

Kredit foto : Sri Pahang FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.