“Pemain sudah buat yang terbaik” – Cheng Hoe

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Harimau Malaya diaibkan dengan kekalahan 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu dalam aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada awal pagi Jumaat.

Ali Mabkhout dan Fabio Virginio de Lima masing-masing menjaringkan dua gol yang menyaksikan Harimau Malaya kecundang buat kali ketiga dalam aksi Kumpulan G, sekaligus tergelincir ke tangga keempat.

Menurut Tan Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan, “Saya pasti semua pun kecewa dengan kekalahan besar ini. Pemain-pemain sudah menunjukkan komitmen dan lakukan yang terbaik namun yang terbaik itu belum cukup bagus untuk kita dapatkan keputusan positif.

“Kita perlu lebih konsisten dan lebih fokus dalam perlawanan, saya harap kita boleh bangkit pada perlawanan seterusnya. Saya tetap positif, kita perlu meletakkan kekalahan ini di tepi dan kami masih ada beberapa hari untuk melakukan persiapan.”

Perlawanan di Stadium Zabeel, Dubai itu menyaksikan Tan Cheng Hoe menghadiahkan kap sulung kepada pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Johan Dion Cools yang bergandingan dengan Aidil Zafuan di jantung pertahanan.

Boleh dikatakan, pemain FC Midtjylland itu bersama-sama Farizal Marlias dan La’vere Corbin Ong adalah tiga pemain terbaik Harimau Malaya di dalam perlawanan tersebut tatkala pemain-pemain lain bermain di bawah tahap prestasi sebenar.

Syamer Kutty Abba, Liridon Krasniqi. Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid dan Guilherme De Paula semuanya gagal menunjukkan impak dan hilang terus dalam permainan.

Malah lebih mengecewakan, De Paula umpama tiada jiwa mahu bermain apabila sekadar berjalan di atas padang, malah hanya selepas kemasukan Syafiq Ahmad (menggantikan Safawi) di separuh masa kedua nampak seperti ada ‘urgency’ untuk melakukan serangan.

Masalah hilang fokus terserlah dengan ketara, apabila tiga daripada jaringan pasukan UAE hadir pada 10 minit terakhir iaitu minit ke-83 dan dua gol berselang seminit pada masa kecederaan.

Kekalahan terbaru ini mengulangi mimpi buruk dialami Harimau Malaya dalam kempen kelayakan pada 2015 menentang lawan sama apabila ketika itu skuad negara tewas dengan jaringan 10-0.

Dengan kedudukan semasa di tangga keempat juga, laluan semakin berliku buat Harimau Malaya untuk mara ke pusingan seterusnya dan tiada pilihan selain menang ke atas Vietnam dan Thailand.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.