Pemain tabik cara Nafuzi Zain lain dari jurulatih yang lain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim menghambur kata-kata pujian kepada ketua jurulatih Nafuzi Zain yang membawa pasukan itu terbang tinggi ketika ini dengan catatan tiga kemenangan berturut-turut.

Faisal Halim menyifatkan Nafuzi Zain sebagai jurulatih yang cukup senang bekerjasama dan tidak memberikan tekanan kepada pemain, dan itu menjadi ramuan utama pasukan itu mempamer prestasi cemerlang meskipun tidak dibarisi ramai pemain bintang.

Terengganu FC membuka tirai Liga Super 2021 dengan kemenangan 2-1 ke atas Uitm FC dan kemudiannya menewaskan Selangor FC 3-1, sebelum melakar kemenangan ketiga dengan menewaskan Perak FC 2-0 pada Ahad.

“Sebelum datang ke sini, saya sangkakan setiap pemain akan sentiasa diletakkan tekanan untuk menang namun nyata cara di sini berbeza di bawah jurulatih, Nafuzi yang ada caranya tersendiri disenangi semua.

“Suasana di sini lebih santai dan kami berasa lebih mudah untuk bermain tanpa ada rasa bebanan, itu menjadi salah satu faktor utama kami berjaya bermain agak baik dalam tiap perlawanan. Malah pemain import dari feeder team seperti (Jordan) Mintah dan Marcel (N’Guessan) juga mahu membalas kepercayaan jurulatih dengan baik.

“Kami membuktikan di dalam pasukan ini walaupun majoriti terdiri daripada pemain muda, kami ada kualiti untuk pergi lebih jauh saingan musim ini,” kata Faisal Halim yang menjaringkan gol pertama dalam kemenangan ke atas Perak FC.

Terengganu FC ketika ini mengutip sembilan mata, sama dengan pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi berada di kedudukan kedua menerusi perbezaan jaringan.

Faisal Halim bagaiamanapun tidak mahu pemerhati melabel Terengganu FC sebagai pencabar utama kepada JDT kerana perjalanan liga masih jauh sebaliknya dia mengharapkan mereka mampu meraih kedudukan yang sebaik mungkin di penghujung musim.

“Saya gembira dapat meledak jaringan pertama dengan TFC yang diharap mampu meningkatkan lagi motivasi saya untuk harungi musim ini.

“Terlalu awal sebenarnya untuk memperkatakan peluang kami untuk musim ini kerana baharu tiga perlawanan sahaja dilalui tetapi permulaan sebegini cukup penting dalam membina keyakinan dalam diri pemain.

“Saya hanya mahu memikirkan satu persatu perlawanan dengan pasukan dan apa sahaja keputusan di akhir musim, saya serta rakan-rakan mengharapkan keputusan yang baik buat pasukan,” kata pemain itu yang beraksi dengan Pahang musim lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.