‘Pemain tentukan berapa banyak gol mereka mahu, bila nak berhenti jaringkan gol’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim Benjamin Mora merupakan individu paling gembira dengan kemenangan besar 6-1 dilakar pasukannya ke atas Selangor pada Sabtu.

Menariknya ia adalah kemenangan  besar kedua skuad Harimau Selatan musim ini selepas membelasah satu lagi pasukan yang dilabel pencabar kejuaraan, Perak dengan jaringan 7-0 kira-kira dua minggu lalu.

Baca : Benjamin Mora puji taktikal Mehmet Durakovic

Baca : Sathianathan salahkan diri, ambil tanggungjawab kekalahan besar di tangan JDT

Baca : Kalau saya ahli silap mata, mungkin saya tahu pemain mana akan beraksi baik

Ditanya jika beliau sememangnya menetapkan sasaran untuk menang besar pada setiap perlawanan, ini respon Benjamin Mora.

“Sebelum perlawanan saya tidak tetapkan berapa gol perlu dijaringkan, saya cuma harapkan kualiti permainan yang baik ditunjukkan, saya cuma harapkan kemenangan.

“Kerana jika anda tidak harapkan kemenangan, bagaimana mahu menang, dan kita juga perlu sentiasa menjangkakan lawan yang sukar.

“Saya sebagai jurulatih tidak banyak yang saya boleh lakukan di tepi padang ketika perlawanan berlangsung. Ianya pemain yang bermain, mereka yang tentukan berapa gol yang mereka mahu dan bila mahu berhenti jaringkan gol.

“Apa yang saya mahu hanya kemenangan dan kita harus nikmati saat ini, kerana bukan selalu boleh merasa menang dengan jaringan tujuh atau enam gol ke atas Perak, Selangor yang merupakan pasukan berkualiti dan pasukan yang bagus.

“Apabila kita melakukannya, kita wajar menikmati detik tersebut tetapi dalam masa sama kekal merendah diri,” kata Benjamin Mora.

TIDAK PERCAYA KEPADA NASIB

Perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim Larkin menyaksikan JDT mencatat kemenangan ketujuh mereka menerusi dua jaringan Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah, serta satu gol oleh Diogo Santo dan Gonzalo Cabrera.

Selangor meraih jaringan saguhati menerusi Rufino Segovia.

Mengenai pendapat JDT mungkin bernasib baik kerana Selangor turun tanpa Brendan Gan dan penjaga gol utama, Khairul Azhan Khalid yang melangsungkan perkahwinan menyebabkan B.Sathianathan terpaksa mempertaruhkan Farizal Harun yang kelihatan kaku sepanjang permainan, ini komen Benjamin Mora.

“Saya seorang yang tidak percaya kepada nasib, sama ada ia adalah nasib buruk mahupun nasib baik. Sebaliknya saya percaya kepada mencipta situasi yang boleh membantu atau tidak untuk pasukan mencatat satu-satu keputusan yang dimahukan.

“Menang besar ke atas Perak 7-0 dan kini 6-1 bukan kerana nasib, tetapi kerana kita mencipta situasi sedemikian. Keghairahan dan keinginan untuk sentiasa menang cukup tinggi dalam diri pemain, apabila sudah mencapai kemenangan tetapi keghairahan itu kurang, maka anda akan berdepan sedikit masalah. Di JDT keghairahan itu tidak sedikitpun berkurang.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.