Pemain Terengganu FC rekrut pertama KDA di jendela perpindahan kedua

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Terengganu FC membuat keputusan melepaskan pemain tengah Asnan Ahmad di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka sehingga 31 Mei ini.

Pemain berusia 28 tahun itu bagaimanapun akan kekal beraksi di Liga Super apabila menyertai salah satu pasukan pencabar utama Kedah Darul Aman (KDA).

Terengganu FC dan KDA, kedua-duanya akan bermain di saingan Piala AFC bermula hujung bulan depan.

Asnan Ahmad menyertai skuad bimbingan Nafuzi Zain musim ini selepas beberapa tahun mewakili UKM FC, membantu pasukan itu layak ke final Piala Cabaran sebanyak dua kali pada 2018 dan 2019, namun sukar untuk mendapat minit bermain.

Sebagai rekod, pemain yang berasal dari Kedah itu hanya bermain sekali sahaja musim ini, itupun sebagai pemain gantian ketika Terengganu FC menewaskan Uitm FC dalam aksi ke-12 Liga Super.

Ditambah pula dengan kehadiran pemain tengah import baru, Habib Haroun serta Lee Tuck untuk memperkasa jentera tengah, ia semakin sukar untuk Asnan Ahmad yang turut boleh bermain di posisi pertahanan untuk memenangi tempat di dalam pasukan.

“Terengganu FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat pemain tengah pasukan, Asnan Bin Ahmad atas sumbangan serta jasa beliau bersama pasukan ini. Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Asnan yang bakal menyertai pasukan negeri kelahirannya Kedah Darul Aman FC selepas ini!,” menurut kenyataan kelab pantai timur itu.

Difahamkan selain KDA, sebuah lagi pasukan Liga Super turut menyatakan hasrat untuk memancing Asnan Ahmad yang sinonim dengan panggilan cikgu, namun pemain itu lebih berminat menabur bakti bersama negeri kelahirannya.

KDA menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Khamal Idris Ali sebelum ini mengesahkan bahawa mereka tidak akan melakukan rombakan besar pada skuad berikutan tiada keperluan berbuat demikian, namun memberitahu akan membawa masuk satu atau dua pemain baru.

Justeru, Asnan Ahmad menjadi rekrut pertama pasukan bimbingan Aidil Shahrin Sahak di jendela perpindahan kali ini.

KDA yang ketika ini berada di tangga ketiga Liga Super – satu mata di belakang Terengganu FC – juga telah melepaskan Zulkhairi Zulkifli baru-baru ini.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.