“Pemain terlalu hormat, gugup, buat kesilapan berulang,” nada kecewa Yusri Che Lah

Yusri Che Lah
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dengan kekalahan besar 1-7 dialami pasukannya di tangan Sarawak United pada Sabtu.

Kekalahan itu hadir hanya beberapa hari selepas Yusri Che Lah menghamburkan pujian dan rasa bangga dengan komitmen pemainnya yang bangkit mengikat Kuching City 2-2.

“Saya tak puas hati banyak benda, komitmen ditunjukkan pemain berubah, tidak sama seperti perlawanan terdahulu. Ia satu keputusan yang berat untuk diterima, pemain sekali lagi menunjukkan rasa terlalu hormat kepada lawan, itu membuatkan mereka gugup sepanjang perlawanan.

“Kalau dilihat gol yang diberi kepada lawan, datang daripada kesilapan dicipta kita sendiri. Tetapi pemain perlu berdepan situasi begini, dan ia berlaku di pusingan pertama Liga Perdana. Ia mengejutkan saya kerana keyakinan yang saya lihat tempoh hari tak menjelma malam ini.

“Saya turunkan kesebelasan sama lawan Kuching City. Masalah paling besar pemain adalah terlalu hormat dan gugup. Dua gol pertama yang kita berikan adalah kesilapan berturut-turut dalam tempoh dua minit.

“Ini menyebabkan moral pemain lain terjejas. Sebelum bolos kita telah bermain dengan cukup baik tapi satu kesilapan membunuh sisa perjuangan.

“Saya harap mereka jangan tunduk dan bangkit kerana bolasepak bukan mudah untuk mereka, mereka masih baru dalam liga dan perlu bekerja keras kerana Liga Perdana memberi pendedahan yang baik untuk mereka,” kata Yusri Che Lah.

Dalam aksi Stadium Hang Jebat itu, Sarawak United mendahului 4-0 di separuh masa pertama menerusi hatrik jaringan Uche Agba pada minit ke-15, 17 dan 30 serta gol jaringan S.Chanturu yang menolak masuk hantaran Gopi Rizqi pada minit ke-45.

Skuad Projek FAM-MSN berjaya mendapatkan satu gol menerusi penalti Azhad Harraz Arman pada minit ke-57 namun Sarawak United bimbingan E.Elavarasan terus garang menambah tiga lagi jaringan menerusi Uche Agba, Abdul Rahim Abd Razak dan Tommy Mawat Bada untuk melengkapkan kemenangan.

Sarawak United gah mengharungi Liga Premier tanpa tewas dalam enam perlawanan manakala Skuad Projek FAM-MSN tewas buat kali ketujuh.

Mereka sebelum ini tewas kepada Terengganu II, Kelantan, PDRM, Selangor II, Negeri Sembilan dan Johor Darul Takzim II.

Foto : Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.