Pemain Teruja Wan Rohaimi Bawa Impak Luar Biasa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang PDRM FC, Bruno Suzuki berterima kasih kepada jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail, yang disifatkannya sebagai faktor utama peningkatan prestasinya.

Menurut pemain berdarah kacukan Jepun-Brazil itu, Wan Rohaimi memahami kelebihannya dan merubah posisinya sebagai penyerang utama pasukan, berbanding penyerang sokongan sebelum ini lantas menyaksikannya telah menjaringkan tujuh gol dalam lapan perlawanan terakhir.

Pemain berusia 31 tahun itu jelas cukup teruja dengan kepercayaan diberikan Wan Rohaimi, dan gembira pasukan PDRM FC kini sedang bersaing dengan kelompok atasan dan berpeluang cerah meraih slot ke Piala Malaysia.

“ Saya akui sangat tenggelam pada pusingan pertama Liga Premier pada beberapa perlawanan awal sebelum terpaksa berehat panjang akibat kecederaan tetapi segala-galanya sangat berbeza pada masa sekarang.

“Kehadiran jurulatih, Wan Rohaimi benar-benar telah mengubah situasi saya di sini kerana dia tahu akan kemampuan saya dengan meletakkan posisi selaku penyerang utama.

“Itu menjadi faktor kenapa saya berjaya temui semula sentuhan jaringan yang dicari-cari selama ini dan rasa gembira kerana dapat balas kepercayaan yang diletakkan oleh jurulatih.

“Kini saya hanya mahu mencari 3 lagi jaringan bagi dari baki 3 perlawanan yang tinggal kerana sememangnya dari awal musim, saya letakkan sasaran 10 gol bersama PDRM di Liga Premier,” katanya.

Kehadiran Wan Rohaimi pada hakikatnya bukan sahaja membantu memulihkan prestasi Bruno dan beberapa pemain lain, tetapi prestasi PDRM FC secara keseluruhannya.

Skuad The Cops tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan terakhir dan rekod ini adalah sesuatu yang menakjubkan buat Wan Rohaimi apatah lagi pasukan itu hanya meraih satu kemenangan dalam lima perlawanan sebelum kemasukannya menggantikan Mat Zan Mat Aris.

Malah PDRM FC juga menjadi pasukan pertama untuk meleburkan rekod tanpa kalah Sarawak United dan Terengganu FC II dalam saingan Liga Premier musim ini.

Sementara itu, Bruno yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan dan Terengganu FC II mengakui suasana di dalam pasukan cukup positif sejak di bawah kendalian Wan Rohaimi.

Tambahnya, jika situasi itu berterusan, dia berasakan tidak mustahil pasukannya mampu menamatkan saingan di Liga Premier dalam kalangan tiga terbaik malah mampu berikan cabaran sengit di Piala Malaysia.

Justeru, dia mengharapkan PDRM mampu sekali lagi hadirkan kejutan ke atas Sarawak United, lawan yang mereka pernah tewaskan semasa pertemuan di Stadium Hang Jebat pada 16 April lalu.

“Melihatkan suasana sekarang, saya rasa amat gembira dengan perkembangan yang berlaku kerana setiap pemain mula percaya yang mereka boleh lakukan sesuatu dengan pasukan.

“Kami pernah tewaskan dua pasukan di atas kami, Terengganu FC II dan Sarawak United, jadi PDRM sebenarnya boleh menang dengan sesiapa sahaja di Liga Premier jika setiap pemain ada keyakinan.

“Jika kami dapat bermain di Piala Malaysia, saya yakin PDRM boleh melakar sesuatu dan harap pertemuan dengan Sarawak United pada Jumaat, kami akan terus konsisten dalam melakar kemenangan,” katanya.

Foto ehsan : PDRM Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.