Pembangunan apa benda macam ni, hentikan sebelum mental mereka KO

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim mengulangi pendiriannya bahawa membenarkan skuad Projek FAM-MSN bermain di Liga Premier 2021 adalah satu kesilapan besar.

Pasukan itu yang dibarisi 30 pemain berusia bawah 19 tahun telah tewas kesemua lima perlawanan yang diharungi setakat ini, tetapi bukan keputusan perlawanan yang menjadi kebimbangan Lim Teong Kim.

Sebaliknya dia berpendapat ia hanya akan memberi kesan buruk kepada pemain secara psikologi dan berpotensi membunuh terus mentaliti kemenangan dalam diri mereka jika dibiarkan.

Selain menyelar pihak yang membuat keputusan membenarkan pasukan ini bermain di Liga Premier, Lim Teong Kim berharap pasukan itu menarik diri dari saingan sebelum terlambat.

“Intensiti adalah terlalu tinggi, dan setiap perlawanan adalah sukar. Secara psikologi, mereka akan rasa tegang dan tertekan.

“Jadi bagaimana mereka membangun? Saya lihat permainan mereka, mereka hanya menyepak bola semata-mata dan saya bersimpati terhadap pemain ini kerana mereka tidak tahu apa nak dibuat.

“Apabila mereka dalam tekanan, mereka sepak bola tanpa arah dan jika ini dikatakan sebagai pembangunan, dianggap sebagai bagus, teruskan sahaja.  Tapi bagi saya yang telah bekerja dengan pemain-pemain muda, saya tahu apa yang baik untuk mereka.

Sumber artikel : ‘Please withdraw project squad from Premier League’

“Saya seorang yang menunjukkan minat terhadap pembangunan pemain dan mereka yang berada di belakang skuad Projek ini sedang membunuh mereka.

“Sebagai jurulatih, kita patut melindungi pemain, tidak mempunyai sebarang agenda peribadi.

“Saya tidak menyalahkan jurulatih (Yusri Che Lah) kerana dia pun dipilih, tetapi saya menyoal lima individu di sebalik projek ini iaitu Datuk Subahan Kamal (bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Pembangunan), Dato’ Ong Kim Swee (pengarah teknikal FAM), Razip Ismail (Ketua Jabatan Belia), Aminuddin Hussin and Richard Scully.

“Mereka adalah orang yang memberitahu ini langkah bagus, tapi ia buruk untuk pembangunan kerana bermain menentang pemain senior adalah satu kesilapan.

“Orang-orang teknikal perlu tahu fakta mengenai pembangunan, melindungi pemain, kerana jika jurulatih tidak melakukannya, siapa lagi yang akan buat, apatah lagi mereka masih muda.

“Kita juga mahu mereka mempunyai mentaliti kemenangan, ia tiada kena mengena dengan kemenangan tetapi ia berkenaan mempunyai kepercayaan diri yang cukup bahawa mereka boleh melakukan apa yang mereka telah sasarkan,” kata Lim Teong Kim.

Skuad Projek FAM MSN Pembangunan apa benda macam ni, hentikan sebelum mental mereka KO

Skuad Projek FAM-MSN yang dibimbing Yusri Che Lah membuka kempen Liga Premier 2021 dengan kekalahan 0-4 kepada Terengganu FC II, disusuli tewas 1-2 kepada Kelantan FC, 2-4 kepada Selangor II, 1-3 di tangan PDRM FC dan terbaru 0-2 kepada Negeri Sembilan FC.

Purata umur pemain bagi skuad ini adalah 17.23, termuda dalam kalangan 11 pasukan bertanding.

“Pemain muda tidak boleh bermain menentang pemain senior kerana mereka perlukan bimbingan, bantuan dan ada ketika perlu diberitahu apa perlu dibuat kerana mereka tidak berpengalaman dan tidak boleh berfikir untuk rakan sepasukan, mereka hanya fikirkan untuk diri mereka di atas padang.

“Mereka perlukan pemain senior untuk membimbing, seorang pemimpin yang boleh mengepalai pasukan dan memberi tunjuk ajar, mengarahkan mereka.

“Pengalaman seharusnya diraih di peringkat gradual agar mereka boleh membina keyakinan, mendapat lebih sentuhan terhadap bola, dan sudah cukup selesa untuk membuat keputusan dalam apa jua situasi,” ujar bekas pemain kebangsaan itu lagi.

Tambah Lim Teong Kim yang pernah berkhidmat dengan Akademi Bayern Munich, “Ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan, saya lihat dua pemain iaitu Azhad Harraz Arman dan Ubaidullah Shamsul Fazili. Dalam 90 minit permainan, Azhad hanya mempunyai 23 saat bersama bola. Ubaidullah pula lebih kurang lima saat sahaja.

“Di Bundesliga, purata adalah 45 saat bersama bola dan itu adalah statistik. Dalam kemenangan 7-1 Jerman ke atas Brazil ketika Piala Dunia 2014, purata adalah 23 saat dan ini adalah tahap tertinggi bolasepak.

“Jadi anda boleh bayangkan apa yang mereka boleh belajar dan pembangunan bolasepak apa yang sedang mereka sembang?

“Untuk pemain muda, lebih banyak sentuhan lebih bagus kerana ia membina keyakinan, membuatkan mereka lebih tenang ketika memegang bola dan tahu bagaimana untuk menghadapi situasi getir.”

Sebagai rekod, Lim Teong Kim telah bersama skuad Program Pembangunan Bolasepak Negara bermula 2013 hingga 2019.

Foto kredit : Sportflex Images

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.