Pembelian Pepe kesilapan terbesar Arsenal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika ada pemain bernilai £15 atau £20 juta beraksi buruk sekalipun sudah tentunya akan menimbulkan rasa sakit hati penyokong, bagaimana sekiranya pemain yang beraksi buruk secara berterusan dan tidak menepati ekspetasi yang diletakkan itu berharga £72 juta?

Mikel Arteta dan penyokong Arsenal sewajarnya diberi pujian kerana mereka masih boleh bersabar dan mengharapkan Nicholas ‘the scammer’ Pepe akan dapat menyerlahkan potensi terbaiknya di Emirates, meskipun tiada tanda-tanda perkara itu akan berlaku.

‘The scammer’? Ya itulah gelaran diberi penyokong the gunners kepada pemain itu yang dibeli dari Lille dengan harga rekod perpindahan kelab pada permulaan musim 2019/2020.

Sejak menyertai pasukan tiada apa yang menarik dihadiahkan pemain Ivory Coast itu kepada penyokong yang benar-benar teruja dengan kedatangannya ke Arsenal, yang dikatakan telah mengecewakan beberapa pasukan gergasi seperti Liverpool, Chelsea, Barcelona dan Paris Saint Germain.

Dia sedikitpun tidak menghampiri prestasi yang ditunjukkan ketika bersama Lille – 22 gol dan 11 assist – yang mengangkat namanya sebagai salah seorang pemain terbaik Ligue 1 musim 2018/2019.

Tidak kurang ada yang melabel pemain itu sekadar level Liga Malaysia berdasarkan prestasi semasanya, dalam kata lain, pembelian yang langsung tidak berbaloi untuk harga £72 juta.

Pada harga tersebut, Arsenal mungkin boleh membeli dua pemain setaraf Thiago Alcantara atau Hakim Ziyech dan masih mempunyai lebihan wang di dalam akaun.

Hakikatnya, ketika dia menyertai Arsenal, dia menjadi pemain keempat termahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris selepas Paul Pogba (£85 juta); Romelu Lukaku (£75 juta) dan Virgil Van Dijk (£75 juta).

Kritikan terhadap Pepe bukan sekadar kerana prestasinya, terbaru Mikel Arteta pula menggeleng kepala selepas pemain itu dilayangkan kad merah yang tidak sepatutnya gara-gara menghantuk kepala pemain Leeds United dalam aksi yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Elland Road pada Isnin.

“Ia sesuatu yang tidak boleh diterima, sangatlah mengecewakan dia bertindak sedemikian pada peringkat ini. Saya tidak jangkakan ini daripadanya, kami bermain hampir keseluruhan separuh masa kedua dengan 10 pemain, dia perlu berubah,” kata Arteta.

Sudahlah prestasi hancur, disiplin pun hancur dan tindakannya sekadar menambah tekanan di kem Arsenal tatkala mereka sedang mengharungi prestasi terburuk dalam liga sejak 1998/1999.

Kini penyokong-penyokong Chelsea dan Liverpool khususnya mungkin tersenyum lebar dengan ‘kegagalan’ pasukan mereka mendapatkan khidmat Pepe pada tahun lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.