Pemerhati Minta Zamsaham Tunjuk Bagaimana Dapat Nilai TRW RM60 Juta?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bagaimana Norizam Tukiman (Zamsaham) iaitu pemilik Kelantan FC mendapat nilai RM60 juta bagi pasukannya itu, demikian persoalan yang ditimbulkan pemerhati bolasepak tempatan, Zakaria Rahim.

Beliau yang juga bekas pengurus pasukan Selangor berkata tidak menjadi masalah berapa pun nilai yang mahu diletakkan Zamsaham, namun dia tertanya-tanya apa justifikasi RM60 juta diletakkan.

Justeru Zakaria berpendapat adalah lebih elok jika nilai sebenar ditentukan oleh sebuah badan bebas yang diiktiraf dan mempunyai kepakaran dalam hal tersebut.

“Kalau nak dapatkan nilai sebenar sesebuah syarikat itu, seeloknya badan penilai yang diakui umumkan supaya lebih tepat. Dia berhak untuk nilaikan sendiri dan logik tetapi dari segi perniagaan dan kalau ada pelabur berminat, sudah tentu kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan.

“Ada kenyataan mengenai penyokong berminat untuk beli saham pasukan bernilai RM3 juta. Jadi daripada mana datang nilai RM3 juta ini?

“Jadi dalam hal ini (penentuan nilai), mungkin dia kena umumkan berapa pendapatan yang pasukan dapat, berapa keuntungan yang diperolehi contohnya daripada penajaan, kutipan tiket, hak televisyen, pengiklanan dan sebagainya.

“Tetapi kita ingat sebagai seorang pelabur saham, salah satu kekuatan mereka adalah membuat spekulasi. Jadi kalau bercerita mengenai jangkaan (nilai meningkat) RM100 juta itu, dia perlu tunjukkan bagaimana nilai RM60 juta boleh diletakkan terlebih dahulu.

“Mungkin nilai (RM60 juta) itu dibuat berdasarkan nilai pemain yang ada dalam pasukannya tetapi pemain juga adalah liabiliti selain sebagai aset. Jadi apa lagi aset yang dia ada selain pemain?

“Kalau dia ada laburkan wang bina bangunan, stadium atau lain-lain dan jika dicairkan dapat menjadi duit, maka itulah set dia. Gaji pemain adalah liabiliti tetapi jika dijual, ia akan jadi aset. Cuma dalam konsep bola sepak di Malaysia, berlaku ke jual beli pemain?,” ujar Zakaria kepada BH Sukan.

Baru-baru ini Zamsaham mengumumkan bahawa nilai Kelantan FC kini berharga RM60 juta dan jumlah itu diperolehi berdasarkan kepada kaedah ‘post money valuation method’ yang digunakan oleh VC dan sesetengah pelabur ‘private equity’ di serata dunia.

Malah, beliau turut berkata bola sepak adalah perniagaan yang menguntungkan dan yakin tanda harga kelab itu akan terus meningkat pada nilai RM100 juta tidak lama lagi.

Sementara itu, Zakaria walaupun masih ragu dengan nilai yang dinyatakan, tetap memuji transformasi Kelantan FC di bawah kepimpinan Zamsaham.

“Bagaimanapun, saya melihat pasukan Kelantan FC di bawah pengurusan Norizam dilihat jauh lebih baik dan profesional berbanding dengan pengurusan sebelumnya dan jika dibanding dengan pengurusan pasukan lain.

“Malah boleh dikatakan lebih profesional daripada pasukan Liga Super yang masih berfikiran amatur dan bergantung kepada kerajaan negeri. Itu sudah satu pencapaian buatnya,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.