Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon memberi penjelasan mengenai pemilihan 30 pemain ke kem latihan pusat bagi aksi persahabatan antarabangsa, yang diumumkannya pada Khamis.
Kim Pan-gon yang dilantik sebagai pengendali baru menggantikan Tan Cheng Hoe pada bulan lepas, menyenaraikan 14 pemain Johor Darul Takzim dalam call-up pertamanya itu dengan beberapa nama yang sebelum ini disisihkan kembali dipanggil.
Antaranya Farizal Marlias, La’vere Corbin Ong, Mohamadou Sumareh serta bekas kapten, Safiq Rahim yang dipanggil buat pertama kali selepas hampir empat tahun. Turut dipanggil semula adalah pemain tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih dan pemain naturalisasi berpengkalan di India, Liridon Krasniqi.
Kim Pan-gon bagaimanapun tidak menyenaraikan beberapa pemain yang berada dalam dalam prestasi terbaik pada musim lalu seperti Rodney Celvin, Daniel Ting, Ryan Lambert mahupun Zhafri Yahya dan ini secara keseluruhannya menimbulkan reaksi yang pelbagai dalam kalangan penyokong.
Kim Pan-gon bagaimanapun berkata, “Setelah berpeluang untuk menghadiri beberapa perlawanan liga sepanjang seminggu yang lalu, saya gembira untuk mengatakan bahawa kita telah mengenalpasti kumpulan pemain yang berpotensi menjadi tonggak skuad kebangsaan.
“Sepanjang satu minggu yang lalu, panel kejurulatihan telah duduk bersama dan menyediakan rating untuk pemain berdasarkan prestasi mereka. Kami bercakap dengan jurulatih dari beberapa pasukan, dan turut membuat penilaian terhadap informasi tambahan berdasarkan statistik yang lepas dan juga minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari tahun 2019 hingga 2021.
“Berdasarkan perlawanan liga, kami mengenalpasti hampir 70 pemain sebelum mengecilkan jumlah itu kepada mereka yang tersenarai ini, yang mana kami percaya dapat menyesuaikan diri dengan falsafah permainan dan pelan taktikal yang diterapkan.
“Tetapi melalui pemerhatian dan pemantauan kami juga, sama ada secara langsung atau tidak, kami perlu untuk menilai kebolehan pemain dari sudut teknikal, taktikal dan kelakuan profesional,” ujar Kim Pan-gon.
Beliau juga memberitahu bahawa panggilan 30 pemain yang pertama ini adalah untuk memenuhi objektif jangka pendek iaitu mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan tampil cemerlang di pusingan kelayakan pada Jun nanti justeru mengharapkan penyokong, media mahupun orang ramai memberikan masa dan ruang kepadanya untuk memulihkan reputasi Harimau Malaya.