“Penalti Aku Tak Bagus” – Khairul Fahmi Kecil Hati Dengan Penyokong Melaka

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Khairul Fahmi Che Mat sedikit terkilan dengan komen-komen yang dilontarkan penyokong susulan kegagalannya menyelamatkan walau satu pun sepakan penalti ketika aksi separuh akhir Piala Malaysia antara Melaka United dan KL City pada Jumaat.

Penjaga gol kebangsaan itu lazimnya dianggap sebagai seorang yang bagus ketika situasi sepakan penalti, dan ketika perlawanan di Stadium Hang Jebat menuju ke penentuan penalti setelah perlawanan 120 minit berkesudahan seri 1-1, ramai menganggap kelebihan sedikit memihak kepada Melaka United kerana adanya kelibat Khairul Fahmi.

Namun sayang sekali, tuah tidak menyebelahi penjaga gol berasal dari Kelantan itu, apabila dia gagal menduga dengan tepat untuk kesemua sepakan penalti yang dilakukan KL City menyaksikan Melaka United kecundang 3-5 sekaligus impian ke final buat kali pertama dalam sejarah Piala Malaysia lebur.

Malah untuk empat sepakan pertama yang dilakukan oleh Paolo Josue, Romel Morales, Indra Putra Mahyuddin dan Hadin Azman yang disasarkan ke sebelah kanan, Khairul Fahmi melompat ke arah bertentangan.

Hanya untuk sepakan terakhir yang diambil Giancarlo Gallifuoco, penjaga gol itu melompat ke arah yang betul tetapi tidak berjaya untuk menghalang bola menerjah jaring lantas pelbagai kritikan dan komen kurang enak dilontarkan.

Sebagai reaksi kepada kritikan segelintir penyokong, Khairul Fahmi menulis di instastory nya : “Terima kasih la penyokong. Penalti aku tak bagus untuk korang, mungkin korang nak Donnarumma (penjaga gol Itali) kot.

“Yang mana sokong sampai akhir tu, korang memang ‘the best’. Tahun ini tiada rezeki dengan ‘keeper’ tak bagus penalti pula kan.”

Untuk menyalahkan Khairul Fahmi semata-mata sebenarnya tidak wajar, memandangkan sepanjang 120 minit perlawanan, Melaka United mempunyai begitu banyak peluang gol yang disia-siakan.

Sebagai rekod, pemain yang sinonim dengan panggilan Apek itu telah bersama Melaka United sejak pertengahan tahun 2018 dan untuk musim depan hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah.

Dia baru-baru ini mendapat call-up ke pasukan kebangsaan setelah lama dipinggirkan dan bakal membuat penampilan keenam di Piala AFF Disember depan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.