Penalti masa kecederaan selamatkan JDT dari diaibkan Perak FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jaringan penalti masa kecederaan menyelamatkan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dari mengalami kekalahan memalukan di tangan Perak FC pada Ahad.

JDT yang diikat Selangor FC pada Rabu lalu, turun dengan misi mahu segera kembali ke landasan kemenangan namun tiada siapa menduga mereka akan berdepan masalah menentang pasukan Perak FC yang bergelut dengan prestasi, malah baru sahaja dibelasah oleh Kuala Lumpur City 3-0.

Sebaliknya skuad kendalian Chong Yee Fatt bangkit dan hampir menjadikan pendahulu liga itu sebagai mangsa dengan mendahului 2-0 pada satu ketika menerusi dua jaringan Guilherme De Paula pada minit ke-34 dan 59.

Namun, skuad JDT bimbingan Benjamin Mora bangkit menerusi jaringan Akhyar Rashid pada minit ke-75 dan ketika perlawanan berlanjutan dalam masa kecederaan, pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang kemudiannya disempurnakan oleh Leandro Velazquez untuk JDT mencatat seri kedua berturut-turut.

Perak bagaimanapun perlu berterima kasih kepada kecemerlangan Hafizul Hakim yang menyelamatkan deretan percubaan berbahaya pasukan lawan.

Skuad harimau selatan kekal menerajui carta Liga Super dengan 11 mata, satu mata mengatasi Terengganu FC yang tewas mengejut 1-2 di Stadium Likas.

Selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut dan hanya mampu meraih satu mata dalam empat perlawanan pertama sehingga menyebabkan Kurniawan Dwi Yulianto diberi amaran keras oleh pihak pengurusan, Sabah FC tampil dengan permainan yang sedikit berbeza dan lebih meyakinkan menentang Terengganu FC yang dianggap sebagai pasukan pilihan.

Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Levy Madinda pada minit ke-37 dan tidak sampai lima minit kemudian giliran Sam Johnson mengukuhkan kedudukan selepas menyudahkan hantaran oleh Levi Madinda.

Ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama, Terengganu FC memperkemas permainan dan mencipta beberapa peluang jaringan, dan hanya pada minit ke-78 berjaya untuk mengurangkan defisit jaringan menerusi penyudah Jordan Mintah hasil gerakan cantik diilhamkan Faisal Halim.

Walaupun melakukan serangan bertali arus selepas itu, Sabah FC utuh bertahan untuk mencatat kemenangan pertama mereka pada musim ini.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Sri Pahang FC mengalami kekalahan ketiga musim ini selepas kecundang 0-1 kepada PJ City FC menerusi jaringan tunggal D.Kugan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.