Penalti minit akhir Bergson julang JDT di Darul Aman

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sepakan penalti disempurnakan Bergson Da Silva pada masa kecederaan membantu Johor Darul Takzim menewaskan Kedah Darul Aman 1-0 di Stadium Darul Aman sekaligus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super.

Setelah mencicirkan mata dalam dua perlawanan terdahulu menentang Terengganu FC dan KL City, JDT turun menentang dengan tekanan tinggi untuk kembali ke landasan kemenangan, apatah lagi menyedari KDA boleh merampas takhta liga seandainya menang perlawanan ini.

Benjamin Mora mengembalikan Safawi Rasid ke dalam kesebelasan utama dalam perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran penyokong itu, namun jelas skuad harimau selatan ibarat kehilangan sengat apabila tidak banyak mencipta peluang di separuh masa pertama.

Sebaliknya KDA beberapa kali mencemaskan pintu gol Farizal Marlias dan terlepas sekurang-kurangnya dua peluang keemasan untuk memecah kebuntuan di separuh masa pertama menerusi Rabih Ataya dan Kpah Sherman, masing-masing terkena tiang dan palang.

Ketika kedua-dua pasukan dilihat menuju keputusan seri tanpa jaringan, kesilapan pemain pertahanan KDA, Renan Alves menjatuhkan pemain gantian, Mohamadou Sumareh membawa padah apabila pengadil Razlan Jofri Ali menghadiahkan sepakan penalti.

Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan, menewaskan Shahril Shaari di gawang KDA untuk gol kesepuluhnya musim ini, sekaligus kemenangan berharga buat JDT.

Tatkala skuad harimau selatan terus unggul di persada Liga Super, KDA pula tergelincir ke tangga ketiga setelah kembali dipintas Terengganu FC.

Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain melupakan kekalahan besar di tangan Penang FC minggu lalu dan tampil garang untuk melakar kemenangan 3-0 ke atas pasukan tangga tercorot Uitm FC.

Ternyata kehadiran dua import baru iaitu Ousman Fane dan Joa Da Silva Freitas gagal merubah nasih Uitm FC tatkala gol jaringan David Da Silva pada minit ketujuh, Faisal Halim pada minit kesembilan dan Rahmat Makasuf pada minit ke-75 memastikan tiga mata buat Terengganu FC.

Uitm yang mengalami kekalahan kesebelas dalam Liga Super musim ini kekal menghuni tangga tercorot.

Sementara itu, hatrik jaringan ketua pasukan Paolo Josue menghadiahkan kemenangan 3-1 buat KL City ke atas Penang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Gol tunggal Penang FC pula dijaringkan Danial Ashraff Abdullah.

Kekalahan tersebut sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan skuad bimbingan Thomas Trucha yang kali terakhir tewas kepada JDT pada perlawanan kedua 9 Mac lalu.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.