Penang aibkan Terengganu, Sri Pahang berpesta gol di laman sendiri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Terengganu FC melepaskan peluang terbaik untuk melonjak selaku pendahulu bersama Liga Super, apabila tewas besar 1-4 di tangan Penang FC dalam aksi terakhir pusingan pertama Liga Super 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain terbang di awangan dengan pujian melambung susulan kejayaan meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Takzim (JDT) minggu lalu, namun mereka gagal mengambil motivasi daripada kemenangan tersebut tatkala Penang FC membuatkan mereka kembali berpijak di bumi nyata.

Perlu diakui kemenangan sensasi tempoh hari sedikit sebanyak menjejaskan prestasi barisan pemain Terengganu FC yang dilihat gagal menangani tekanan dan ekspetasi untuk meneruskan momentum kemenangan.

Pada perlawanan itu, Sheriddin Boboev meletakkan skuad bimbingan Thomas Trucha di depan seawal minit kelapan sebelum Endrick Dos Santos menggandakan kedudukan pada minit ke-21 untuk kedudukan 2-0 di separuh masa pertama.

Bintang muda meningkat naik Hakimi Abdullah mengurangkan defisit pada minit ke-59, namun Penang FC berjaya menambah dua lagi gol menerusi jaringan pantas Casagrande pada minit ke-66 dan 68 untuk kedudukan 4-1 dan ia kekal sehingga tamat perlawanan.

Tiga mata melonjakkan Penang FC ke tangga ketiga dengan 22 mata, manakala Terengganu FC yang mengalami kekalahan terbesar dalam saingan Liga Super sejak tewas 0-4 kepada PKNS pada Julai 2018, tergelincir ke tangga keempat.

Dalam pada itu, Sri Pahang FC pula menamatkan kemarau kemenangan dalam enam perlawanan apabila berpesta gol membelasah Uitm FC 5-0 di Stadium Darul Makmur.

Ternyata kata-kata semangat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar berjaya membangkitkan motivasi dan keyakinan dalam diri pemain, sekaligus membantu Sri Pahang melakar kemenangan kedua musim ini.

Lee Tuck menjaringkan gol pembukaan seawal minit pertama, disusuli jaringan Pedro Henrique pada minit ke-34 untuk kedudukan 2-0 di separuh masa pertama.

Baqiuddin Samsudin meledak gol ketiga pada minit ke-66 sebelum Herold Goulon mengukuhkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-70.

Gol sendiri Fahmi Sabri pada minit ke-72 melengkapkan kemenangan bergaya Sri Pahang, namun skuad bimbingan Dollah Salleh itu kekal menghuni tangga kedua tercorot dengan lapan mata.

Uitm FC yang tewas kali kesepuluh pula kekal di tangga tercorot dengan hanya satu mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.