Penang mengancam lain macam tapi Thomas Trucha belum cukup gembira

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penang FC meneruskan permulaan gah mereka dalam saingan Liga Super 2021 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perak FC, tetapi ia tidak cukup untuk menggembirakan ketua jurulatihnya, Thomas Trucha.

“Keputusan okay, untuk bangkit daripada ketinggalan satu gol dan menang, saya gembira tetapi untuk persembahan pasukan tidak. Saya nampak kita boleh buat yang lebih baik.

“Kami tidak beraksi baik sepanjang perlawanan. Bek tengah dan penjaga gol mungkin okay, tetapi secara berpasukan kami tidak bermain baik.

“Saya mengharapkan lebih lagi daripada para pemain, tentang permainan mereka. Jika anda bermain baik, selepas beberapa perlawanan anda akan dapat keputusannya.

“Bagi saya, lima aksi sebelum ini, anda ketikanya kami bermain seperti yang saya mahukan, tetapi hari ini, sebagai jurulatih saya lihat banyak perkara perlu diperbaiki kerana semua bahagian bermasalah.

“Di tengah kami tidak kompak, tidak tersusun dan beri ruang kepada pemain Perak. Ya, kami tahu mereka bagus, jadi perancangan kami adalah untuk menyukarkan mereka.

“Tetapi, apa yang saya nampak, Perak mencipta banyak peluang, saya tidak sukakannya. Saya percaya kami boleh bermain lebih baik tetapi saya akui, tidak mudah untuk bangkit daripada ketinggalan kepada pasukan seperti Perak,” ujar Thomas Trucha.

Dalam aksi di Stadium Bandaraya itu, Perak FC bimbingan Chong Yee Fatt terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Careca pada minit ke-12 namun Penang FC membalas menerusi Casagrande pada minit ke-43 dan Rafael Viktor (minit ke-71) untuk mencatat kemenangan ketiga mereka musim ini.

Kemenangan ke atas Perak Fc juga yang pertama buat Penang selepas 2009 dan ia adalah rekod kedua dilakar mereka musim ini selepas terdahulu mencatat kemenangan pertama ke atas Selangor FC dalam tempoh 13 tahun iaitu pada 2008.

Tiga mata yang diraih menyaksikan Penang FC kini melonjak ke tangga keempat dengan 11 mata.

Mereka hanya tewas sekali dalam enam perlawanan yang telah diharungi iaitu 0-2 kepada Johor Darul Takzim dan berdasarkan prestasi semasa dilihat berupaya mencabar kedudukan empat teratas.

 

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.