Pencapaian Saya Di Selangor Lebih Baik Daripada Jurulatih Jerman – Sathianathan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tersingkirnya Selangor FC daripada saingan Piala Malaysia 2021 setelah kecundang 0-1 (agregat 0-3) kepada KL City dalam aksi suku akhir pada Khamis, menjadi penutup musim yang cukup suram buat skuad bimbingan Karsten Neitzel yang sebelum ini menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima.

Sudah tentu ia bukanlah pencapaian yang memberangsangkan buat skuad Red Giants apatah lagi sasaran mereka pada awal musim adalah memberikan tentangan sengit untuk merampas trofi Liga Super serta menjadi pencabar kejuaraan, seterusnya layak beraksi di pentas Asia.

Kegagalan mencapai sasaran yang ditetapkan turut menarik perhatian bekas pengendali pasukan itu, B.Sathianathan yang berkata pencapaian Selangor FC ketika di bawah kendaliannya adalah lebih baik berbanding Karsten Neitzel.

“Saya sangkakan jurulatih dari Jerman boleh membawa mereka ke Asia dan membantu mencapai apa yang saya gagal lakukan tapi sayang kalau dilihat pencapaian dia tidaklah lebih baik daripada saya.

“Penyokong Selangor mengatakan saya gagal tetapi pada musim pertama bersama Selangor FC, saya bawa pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Super dan layak sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia. Jangan lupa pada tahun sebelumnya sebelum saya masuk, Selangor duduk nombor lapan liga.

“Manakala jurulatih Jerman pula pada musim pertama duduk nombor lima liga dan suku akhir Piala Malaysia, jadi pencapaian saya adalah lebih baik apatah lagi saya mengendalikan pasukan ketika itu dengan pelbagai kekangan.

“Malah saya minta tukar Rufino (Segovia) dan membawa masuk penyerang import baru pun tak dapat sebab katanya tiada duit. Penyokong kritik Prabhakaran dan saya mahu dapatkan Fitri Omar pun tak dapat.

“Sedangkan jurulatih Jerman ini, semuanya disediakan malahan mempunyai pilihan pemain import dan tempatan yang lebih ramai dari Selangor II.

“Apa yang saya mahu katakan, jurulatih tempatan ada kualiti untuk membuat lebih baik berbanding jurulatih luar jika diberi sokongan yang wajar daripada pengurusan. Janganlah kita terlalu mengagung-agungkan jurulatih luar hanya kerana lesen mereka dari negara mat salleh.

“Saya menghormati dan tabik keberanian RMS (Raja Muda Selangor) untuk membuat perubahan, beliau begitu sayangkan bolasepak Selangor dan mahu melihat perubahan tapi sayangnya orang yang ditugaskan membuat perubahan itu gagal,” ujar Sathianathan kepada La Bola Malaya.

Sathianathan yang juga bekas jurulatih kebangsaan dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor FC bagi musim 2019. Walaupun cemerlang pada musim pertama, pasukan sedikit bergelut dengan prestasi pada musim berikutnya setelah saingan liga dihentikan begitu lama susulan penularan Covid-19.

Sathianathan dipecat selepas tewas 1-6 kepada Johor Darul Takzim dalam perlawanan kelapan Liga Super 2020 dan tugasnya selepas itu dipangku sementara oleh Michael Feichtenbeiner yang kemudiannya membawa pasukan itu menamatkan saingan di tempat kelima.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.