Pendedahan Tengku Muda bukti gaji bukan penyebab Sumareh lari

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Mohamadou Sumareh dikatakan membuat keputusan membatalkan kontrak dengan Pahang kerana masalah tunggakan gaji, tetapi ia dinafikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdul Rahman mengakui ada kelewatan di dalam pembayaran gaji, tetapi menegaskan bahawa semua pemain termasuk Sumareh menerima gaji mereka setiap bulan.

Malah dalam kes Sumareh, semua pembayaran telah diselesaikan dalam satu perjanjian antara kedua-dua pihak pada 26 Ogos 2020, dengan Sumareh telah bersetuju untuk kembali menyertai kem latihan tetapi memungkiri janji dan hilang tanpa berita.

“Saya sangat kecewa dengan Sumareh. Kami telah banyak membantunya dari awal termasuk mendapatkannya kerakyatan Malaysia.

“Ini jelas menunjukkan dia tidak bersyukur dan cara dia menangani situasi ini tidak menggambarkannya sebagai seorang pemain profesional.

“Kita telah berjanji kepada dia untuk menyelesaikan semua pembayaran yang tertangguh dan kita menunaikan janji tersebut.

“Kalau dia ada masalah atau mahu pergi ke pasukan lain, dia sepatutnya bercakap dengan saya dahulu dan pergi secara baik. Tetapi dia pilih untuk ponteng sesi latihan dan membuat keputusan sendiri,” kata Tengku Muda Pahang itu kepada Free Malaysia Today.

BIAR FIFA PUTUSKAN NASIB DIA

Tambahnya, “Saya tidak mahu khidmat dia lagi selepas apa yang telah dilakukannya dan kami akan mengambil tindakan yang wajar untuk mendedahkan kelakuan tidak profesionalnya kepada pihak berwajib.

“Kami akan menulis surat rasmi kepada FAM dan kemudian dipanjangkan ke AFC serta FIFA. Biar mereka mengambil tindakan lanjut.”

Sebelum ini, Sumareh dilaporkan menghilangkan diri dari kem latihan sepanjang bulan Ogos dan kemudian membatalkan kontraknya dengan mengaktifkan klausa 8.7 berikutan tidak menerima gaji lebih dari sekali.

Ketika berita mengenainya masih panas dan menjadi kontroversi hangat, pemain berasal dari Gambia itu diumumkan sebagai pemain baru kelab Thailand, Police Tero FC.

Ejen kepada pemain itu dilaporkan telah menghubungi PBNP untuk mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) selain menawarkan bayaran perpindahan sebanyak US$1 juta tetapi PBNP membuat keputusan tidak melayan permintaan itu.

Menurut ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, Sumareh telah beberapa kali menyatakan hasrat mahu keluar daripada Pahang sejak beberapa bulan lalu tetapi beliau menasihatkan pemain itu untuk bersabar dan berjumpa terlebih dahulu dengan Tengku Abdul Rahman.

Foto kredit : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.