Pengadil buat keputusan tidak tepat sedangkan linesman dah beritahu ia bukan penalti

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh mengakui pengadil perlawanan Liga Super antara PJ City FC dan Melaka United pada Rabu, Fairuzi Md Desa telah membuat keputusan tidak tepat dengan menghadiahkan sepakan penalti kepada PJ City pada minit ke-81.

Subkhiddin yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berpendapat Fairuzi tidak berada pada kedudukan yang betul untuk melihat ‘lakonan’ oleh pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Zamri (Beto) yang terjatuh di dalam kotak penalti tanpa disentuh oleh mana-mana pemain Melaka United sekaligus menyebabkannya tertipu.

Dalam masa sama, beliau mendedahkan bahawa pembantu pengadil (linesman) sebenarnya telah memberitahu Fairuzi bahawa ia bukan penalti.

“Saya tertarik dengan AR2 (pembantu pengadil 2) yang kekal berdiri di garisan tepi dan tidak bergerak untuk mengambil tempat bagi menguruskan sepakan penalti seperti kebiasaannya.

“Ini bermaksud AR2 mempunyai pandangan yang berbeza bahawa ia bukan penalti dan sedang berusaha membantu pengadil untuk melambatkan permulaan semula permainan (sepakan penalti) bagi membolehkan pengadil memikirkan semula keputusan awal yang diberikan,” katanya dalam laporan BH Sukan.

Darren Lok menyempurnakan penalti kontroversi tersebut untuk PJ City FC mendahului 2-1 pada minit ke-86 sebelum Melaka United mendapatkan gol penyamaan pada lewat permainan untuk perlawanan berkesudahan 2-2.

Ahmad Khairil Anuar bagaimanapun menjadi sasaran kecaman penyokong bolasepak tanah air ekoran tindakan tidak bersemangat kesukanannya itu malah ramai yang mahu pemain itu dikenakan tindakan.

Berita berkaitan : PJ City berputih mata gara-gara sentuhan terakhir permainan

Berita berkaitan : Beto diserang dan dikecam hebat gara-gara lakonan untuk mendapatkan penalti

Tambah Subkhiddin lagi, “Pemain pada saat mustahak seperti ini bijak membuat lakonan seolah-olah dia menerima terjahan oleh pemain lawan dan berterusan melakonkan aksi kecederaannya untuk memberikan impak berterusan kepada semua pihak dan pengadil khususnya.

“Nasihat saya kepada pengadil, komitmen dan tumpuan sepanjang masa permainan adalah perkara asas untuk menempatkan seseorang pengadil di posisi dan sudut pandangan yang jelas sebelum sesuatu kejadian berlaku dan bukannya selepas kejadian berlaku.

“Fahami bola sepak. Berikan tumpuan kepada pemain pertahanan yang sedang mencabar kerana ia akan memberikan gambaran sebenar terhadap tingkah laku pemain yang cuba mendapatkan keuntungan dengan cara yang salah.”

Apa yang pasti kredibiliti pengadil FAM nampaknya semakin menjadi pertikaian hangat, apatah lagi baru sahaja dua perlawanan diharungi kesemua pasukan sejak Liga Malaysia membuka tirainya pada 5 Mac lalu, sudah ada dua insiden besar membabitkan pengadil ‘salah posisi’.

Sebelum ini, pengadil perlawanan antara Kelantan FC dan Perak II dalam aksi pembukaan, Amirul Aizat Awang Lodin turut menjadi tumpuan setelah dia ditolak sehingga jatuh tergolek oleh pemain import Kelantan FC, Jack Hindle gara-gara menghalang pemain itu dari mendapatkan bola.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.