Pengadil perlawanan Sabah vs Terengganu FC digantung sekali lagi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Prestasi kurang memuaskan pengadil Khirulazuan Kidam ketika mengadili perlawanan antara Sabah FC dan Terengganu FC pada Ahad lalu, mendapat pembalasan wajar apabila dia dikenakan penggantungan selama dua minggu secara serta-merta oleh Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Khirulazuan menjadi pengadil kedua Liga Malaysia untuk menerima nasib sedemikian setelah Jawatankuasa Pengadil terdahulu menghukum Fairuzi Mohd Desa di atas prestasi buruk ketika mengadili perlawanan antara Melaka United dan PJ City pada 10 Mac lalu.

Selain digantung dua minggu, Khirulazuan juga akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil untuk mengikuti program penambahbaikkan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah.

Dia hanya akan kembali mengadili perlawanan Liga Super apabila prestasinya dinilai berada pada tahap memuaskan, menurut kenyataan oleh Datuk S.Sivaasundram.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua Khirulazuan digantung FAM – dia pernah digantung tiga bulan pada 2016, juga kerana prestasi buruk ketika aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia antara T-Team dan FELDA United yang berkesudahan seri 1-1

Ketika aksi di antara Sabah FC dan Terengganu FC baru-baru ini, Khirulazuan menjadi sasaran kritikan susulan kualiti pengadilan teruk sepanjang permainan, termasuk membatalkan jaringan Jordan Mintah pada minit ke-56 dengan mendakwa penyerang itu terlebih dahulu mengasari penjaga gol lawan.

Malah dia juga gagal mengesan kesilapan penjaga gol Terengganu FC Rahadiazli Rahalim menangkap bola di luar kotak penalti.

Beberapa lagi kontroversi pengadilan menyaksikan tercetus situasi tegang sehingga jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain dilayangkan kad kuning kerana menendang bangku simpanan.

Apa yang pasti, isu pengadilan menjadi antara perkara paling mencuri tumpuan sejak bermulanya Liga Malaysia 2021.

Pada 6 Mac lalu, pengadil Amirul Aizat Awang Lodin didapati berada pada kedudukan yang salah menyebabkannya ditolak secara agresif oleh pemain import Kelantan FC, Jack Hindle. Dia juga telah diambil tindakan dihantar mengikuti program penambahbaikkan prestasi.

Kemudiannya kesilapan Fairuzi Mohd Desa menghadiahkan penalti kepada PJ City sedangkan pemainnya terjatuh sendiri dalam kotak penalti, disusuli beberapa keputusan kontroversi oleh pengadil ketika pertemuan antara JDT dan Perak FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.