“Pengadil Yang Bagi, Bukan Kerja Saya Nak Tentukan Ia Penalti Atau Tidak” – Benjamin Mora

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim, JDT, Benjamin Mora sedar mengenai pertikaian ramai mengenai penalti yang dihadiahkan kepada pasukannya ketika menentang Sri Pahang pada Rabu.

Pengadil memberikan penalti kepada JDT pada minit ke-88 setelah Bergson da Silva terjatuh kerana terlanggar Hasnul Zaim, dan pemain itu sendiri menyempurnakan sepakan itu untuk membantu JDT bangkit daripada ketinggalan dan mencatat keputusan seri 2-2.

Benjamin Mora ketika menjawab soalan sama ada penalti itu wajar atau tidak buat pasukannya, berkata bukan dia yang bertanggungjawab menentukan perkara itu.

“Saya tidak tahu kami berhak dapat penalti atau tidak, pengadil kata penalti maka ianya adalah penalti. Bukan kerja saya untuk menentukan, kami hormat keputusan dan juga kerja yang dilakukan pengadil.

“Kami berterusan menyerang dan mengasak di separuh masa kedua, kami masuk ke dalam kotak penalti, melakukan gelecekkan, mencipta peluang satu lawan satu, melakukan percubaan dan hantaran-hantaran ke dalam kotak dan situasi seperti ini (dikasari dan mendapat penalti) boleh berlaku.

“Ia sudah berlaku kepada banyak pasukan lain sebelum ini dan kali ini berlaku kepada kita. Saya perlu melihat balik penalti yang kita dapat dan melihat juga penalti yang mereka (Sri Pahang) sebelum membuat kesimpulan apa yang bagus atau tidak bagus.

“Tetapi seperti saya kata, pengadil beri penalti dan kami hormatinya,” kata Benjamin Mora.

Pada perlawanan itu, JDT mendahului pada minit ke-17 menerusi Bergson namun Sri Pahang bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi Saiful Jamaluddin pada minit ke-38 sebelum Manuel Hidalgo menyempurnakan sepakan penalti tiga minit kemudian untuk kedudukan 2-1 di separuh masa pertama.

Penalti dihadiahkan selepas Shahrul Saad didakwa menjatuhkan Mahmoud Zatara namun ulangtayang menunjukkan pemain itu sebenarnya terjatuh sendiri.

Di separuh masa kedua, JDT mendominasi sepenuhnya permainan manakala Sri Pahang bimbingan Christophe Gamel mempamer corak ultra defensive dan begitu hampir melakar kejutan besar, sehinggalah sepakan penalti itu dihadiahkan sekaligus menyelamatkan maruah JDT di laman sendiri.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.