Pengajaran Buat Sharbinee Allawee Agar Jaga Perangai Seiring Senioriti

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Reputasi mengagumkan yang dibina Sharbinee Allawee dalam saingan Liga Malaysia musim ini sedikit tercemar susulan hukuman penggantungan lima perlawanan yang dikenakan ke atasnya oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia.

Berusia 35 tahun, Sharbinee Allawee merupakan salah seorang penjaga gol paling senior dalam kancah bolasepak tempatan dan pengalamannya juga bukan calang-calang.

Mengambil kira aspek itu, wajar untuk kita katakan dia sudah berada pada satu tahap di mana seharusnya menjadi disegani dan contoh terbaik yang menjadi ikutan pemain-pemain muda.

Tetapi apa yang ditunjukkan pemain kelahiran Terengganu ini ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan tidak mencerminkan kematangan seiring senioriti dan sudah tentu meninggalkan tanda hitam yang tidak sepatutnya dalam kariernya.

Semuanya bermula dengan layangan kad merah kepadanya oleh pengadil perlawanan, susulan tendangan kungfu ke dada pemain Negeri Sembilan pada perlawanan itu.

Sharbinee Allawee sepatutnya sedar bahawa tindakannya itu sememangnya ‘red-card offence’ tetapi bukan sahaja dia mempertikai keputusan itu, malah melakukan provokasi terhadap pegawai perlawanan dan menunjukkan perangai yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh seorang pemain senior.

Berita Berkaitan : Elavarasan Digantung 12 Bulan, Tiga Pemain Sarawak United Turut Digantung

Jawatankuasa Tatatertib mengenakan tiga pertuduhan bersabit kelakuan tidak bersemangat sukan ke atasnya, menyaksikan dia didenda RM7,000 dan digantung lima perlawanan bermula perlawanan menentang JDT II dalam aksi terakhir Liga Premier.

Dia juga akan terlepas empat perlawanan pertama Piala Malaysia, semoga Sharbinee Allawee kembali semula sebagai seorang pemain yang lebih matang dan bijak mengawal emosi seiring usia dan pengalaman luas.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Sarawak United, Haizul Azmi Dzulkafli berkata pasukan itu akur dengan hukuman yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FAM ke atas pemain dan pegawainya, selain berterima kasih kerana memberi peluang kepada mereka mengemukakan kes.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak pengurusan Sarawak United, sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan kepada FAM berhubung jumlah denda RM10,000 yang dikenakan terhadap pegawai pasukan, Rudy Bujang kerana menyerang pegawai perlawanan.

“Buat masa ini Sarawak Uni­ted sedang mempertimbangkan untuk buat rayuan terhadap Rudy Bujang berhubung jumlah denda yang perlu dibayar. Memandangkan beliau sudah digantung enam bulan, jadi kami cuba buat rayuan terhadap jumlah dendanya,” jelasnya.

Foto ehsan : Sarawak United Official

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.