Syahmi Safari akui terima tawaran kelab Eropah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain pertahanan Selangor Syahmi Safari mengakui pernah menerima tawaran dari kelab Eropah sekitar dua tahun lalu, seperti dilaporkan akhbar tempatan Harian Metro pada Rabu.

Laporan itu menyebut bahawa lima pemain skuad negara iaitu Syahmi, Irfan Zakaria dan tiga pemain JDT iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba pernah dirisik oleh kelab divisyen dua Eropah dengan memetik kenyataan ejen bolasepak tempatan Syed Qamarul yang turut mendakwa bahawa tawaran tersebut tidak menarik minat pemain-pemain tempatan kerana gaji tidak lumayan seperti Liga Malaysia.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards tidak begitu teruja dengan dakwaan oleh Syed Qamarul dengan mengatakan jika benar ada kelab berminat dengan pemain Harimau Selatan, mereka adalah yang pertama akan mengetahuinya selain melabel ia sama ada cerita dongeng atau mungkin ejen tersebut hendak membuat duit.

Syahmi Safari bagaimanapun mendedahkan dia dan pemain JDT yang dimaksudkan memang ada menerima tawaran kelab Eropah, sekaligus bukan sahaja membuktikan tanggapan Alistair Edwards itu salah, tetapi turut menepis kenyataan Syeq Qamarul bahawa mereka tidak berminat disebabkan gaji rendah.

“Memang benar saya pernah dirisik dua atau tiga kelab luar sejak dua tahun lalu, malah terbaru tahun lalu kelab Sweden ada menghubungi, tapi tak pergi sebab kalau setakat duduk bangku simpanan baik kekal dalam Liga Malaysia.

“Kita tak tahu benchmark (tanda aras) pemain dari Malaysia dipandang macam mana oleh mereka. Maksud saya, kalau kita terima dan kemudian mereka juga akan bawa pemain dari Afrika atau Eropah yang lain, jadi apa kedudukan kita dalam pasukan itu.

“Sebab kita pernah ada lagi pemain dari Malaysia main di Eropah. Jadi pandangan mereka pada kita biasa-biasa saja berbanding jika ada pemain dari Eropah yang lain,” katanya dipetik dari Harian Metro.

Tambahnya, “Ramai orang fikir kami tak nak pergi sebab gaji kecil, tapi sebenarnya bukan. Mungkin ada beza sikit gaji yang ditawarkan, tetapi tak adalah sampai kecik sangat. Terus terang siapa tak nak main di luar negara, saya memang nak jika ada peluang. Pengalaman dapat main di sana adalah impian saya dan juga mana-mana pemain sekalipun, tapi kami fikirkan pasal benchmark yang saya sebutkan tadi.”

Foto : Asean Football/FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.