Pengambilalihan Kedah FC batal berikutan GoFlumen minta tanah dan stadium

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengambilalihan kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC oleh gabungan dua syarikat tempatan, Flumen Holdings dan Go Auto Group (GoFlumen) terpaksa dibatalkan berikutan permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan kerajaan negeri.

Perkara itu disahkan oleh Presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media pada Rabu.

“Saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan rundingan tersebut dan pasukan bolasepak negeri Kedah Darul Aman akan terus dikendalikan sepenuhnya oleh KDA FC yang ditubuhkan oleh KFA.

“Permintaan daripada syarikat itu tidak dapat dipenuhi oleh KFA dan kerajaan negeri. Ia permintaan yang terlalu besar untuk kita tunaikan, mereka minta tanah, tak dapat nak penuhi, antaranya ialah tanah yang masih berstatus pertanian, kemudian nak ditukar ke tanah industri.

“Mereka juga minta stadium, Stadium Darul Aman dan Stadium Sultan Abdul Halim, ia tidak boleh dilakukan. Stadium adalah hak milik perbadanan stadium, ada enakmen, kami tak boleh beri, itu harta orang lain, kita tak boleh serah kat orang macam tu saja.

“Kemudian tu, adalah cara-cara bayaran yang saya tidak dapat beri kelulusan atas pertimbangan saya sebagai Menteri Besar kerana perkara ini akan mendatangkan kerugian berbanding faedah kepada rakyat negeri ini,” kata Muhammad Sanusi.

Muhammad Sanusi turut memberitahu bahawa pihaknya sudah memberi banyak peluang kepada dua syarikat itu untuk menjayakan pengambilalihan yang telah sampai ke tahap 80 peratus namun ia tidak digunakan sebaiknya.

Kerajaan negeri Kedah juga sebelum ini telah bersetuju untuk memberikan tanah berkeluasan 300 hektar di Sungai Petani untuk pembinaan kilang syarikat tersebut bagi pelaburan kenderaan berteknologi berasaskan eletrik, yang dianggarkan bernilai RM1.5 billion.

Pemilik Flumen Holdings, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman dalam satu temuramah dalam rancangan [email protected] pernah memberitahu, “Kalau tanya secara peribadi, sebagai anak Kedah yang dahulunya selalu panjat Stadium Darul Aman, memang saya nak sangat ambil alih.”

Siapa sangka rupanya ada maksud tersirat di sebalik kata-kata Ahmad Shaizuan itu, tetapi takkanlah mereka sewenang-wenangnya minta tanah dan stadium tanpa situasi menang-menang? Apa yang ditawarkan oleh GoFlumen, mungkinkah ada perkara-perkara yang tidak diceritakan oleh Muhammad Sanusi dalam sidang media?

Meskipun rundingan yang memakan masa lama ini telah gagal, Muhammad Sanusi masih memberikan peluang kepada mana-mana syarikat lain yang berminat untuk tampil berunding dan mengambilalih pasukan Kedah Darul Aman FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.