Pengaruh Azizul Kamaluddin, ‘Roberto Baggio’ Malaysia terlalu kuat

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Azizul Kamaluddin, salah seorang penyerang terbilang yang pernah mewarnai kancah bolasepak tanah air.

Penampilan bertocang ala-ala Roberto Baggio membuatkan kelibat Azizul senang menjadi perhatian, dan sentuhan penyudah berbisanya membuatkan dia sentiasa disebut sebagai salah seorang penyerang terbaik pernah dilahirkan Pahang.

Tidak ketinggalan menjadikannya sebagai idola, penyerang Kuching FA yang juga bekas pemain kebangsaan, Joseph Kalang Tie.

Joseph mengakui Azizul merupakan pemain yang paling diminati serta memberikan pengaruh besar terhadap dirinya bagi menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Maka tidak hairanlah mengapa Joseph pernah memilih nombor 12 sebagai pilihannya ketika mewakili Terengganu pada musim 2008 hingga 2011 walaupun kini dia lebih banyak menggunakan nombor 19 bersama pasukan-pasukan lain.

“Sejak di sekolah rendah lagi, kalau main bola, dalam hati ini, saya akan kata mahu jadi macam Azizul Kamaluddin dan itulah selalu saya berikan semangat tiap kali turun beraksi sehinggalah ke zaman profesional.

“Apa yang buat saya suka sangat dengan Azizul ialah dia ada karakter tersendiri yang saya susah hendak nampak kepada pemain lain dan menjadikan dia seseorang yang istimewa di mata saya.

“Dia punya sentuhan pertama dengan bola cukup baik malah penyudahnya cukup tajam sehingga dia mampu bersaing dengan penyerang import lain pada waktu berkenaan,” kata Joseph Kallang.

Joseph bagaimanapun terkilan belum pernah menemui pemain yang jadi pujaannya itu sehingga sekarang walaupun pernah tinggal di Kuantan pada tahun 2018 ketika menyarung jersi Pahang.

“Walaupun saya tidak pernah beraksi dengannya, terus terang saya mahu berjumpa dengannya namun hajat itu belum kesampaian malah semasa di Pahang, niat itu juga tidak kesampaian dan harap mungkin ada rezeki pada lain kali,” katanya.

Azizul merupakan salah seorang pemain disenaraikan dalam Best XI Joseph Kallang.

Pemain lain yang membentuk kesebelasan pilihannya adalah Sharbinee Allawee, Zubir Azmi, Razman Roslan, Jelius Ating, S.Kunanlan, B.Rajnikandh, Safiq Rahim, Ashari Samsudin, Safawi Rasid dan Safee Sali.

Mengenai Jelius Ating yang ketika ini merupakan penolong jurulatih Sabah, Joseph Kallang berkata : “Jelius bagi saya adalah pemain yang wajar dihormati kerana di atas padang semasa saya bermain dengan dia dulu, saya selalu mendapat banyak tunjuk ajar daripadanya.

“Malah, dia masih antara pemain pertahanan tengah yang terbaik pernah saya jumpa kerana dia punyai segala-galanya daripada segi pembacaan permainan dan punyai corak permainan yang keras serta sentiasa beri kesukaran kepada mana-mana penyerang,” katanya.

Foto ehsan : Retro Bolasepak

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.