Pengendali Sabah FC geram ada pemain tak ikut arahan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto membidas sikap salah seorang pemain tonggaknya yang disifatkan bermain tidak mengikut arahan ketika tewas 0-1 kepada PJ City pada Sabtu lalu.

Sabah FC yang turun dengan keyakinan tinggi berputih mata setelah gagal memecahkan tembok pertahanan kebal PJ City malah taktikal ‘parking bus’ skuad kendalian P.Maniam menyukarkan lagi merela untuk memburu jaringan.

Gol tunggal Sunil Chandran menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan membolehkan PJ City melonjak satu tangga ke tangga ketujuh dengan 18 mata manakala Sabah FC tergelincir ke tangga kelapan.

“Kami sedar kekuatan PJ City ialah bermain dengan kompak sambil melancarkan serangan balas. Ketika PJ City menyerang dan tidak seimbang di belakang, ada pemain saya pula yang tidak mengikuti arahan. Saat kami memenangi bola dan sedia melancarkan serangan, pemain ini menangguhkan gerakan,” kata Kurniawan.

Sabah FC selepas ini akan menentang Sri Pahang di laman sendiri, dan mereka tiada pilihan selain melakar kemenangan jika mahu menjarakkan diri dari zon bahaya.

Apatah lagi Sri Pahang yang mencatat keputusan seri menentang Melaka United pada Ahad kini ketinggalan hanya tiga mata di belakang mereka dan sekiranya tewas lagi mereka bakal dipintas skuad kendalian Dollah Salleh itu.

Sebagai rekod ketika kedua-dua pasukan bertemu pada bulan Mac lalu, perlawanan memihak kepada Sri Pahang dengan keputusan 2-1 yang mana merupakan kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Super 2021.

Sabah FC tidak pernah menewaskan Sri Pahang dalam enam pertemuan terakhir sejak 2018 dan lebih malang tewas dalam kesemua lima pertemuan terakhir.

Sementara itu Dollah Salleh pula berharap barisan pemainnya akan lebih tajam ketika menentang Sabah FC selepas mensia-siakan beberapa peluang keemasan ketika menentang Melaka United.

Dollah juga mengakui semakin gembira dengan keberkesanan gandingan Malik Mat Arif dan Manuel Hidalgo.

“Kita banyak bergantung kepada Malik Mat Arif ketika menentang Melaka, dapat gol pun menerusi gerakan dia, dapat penalti pun melalui dia, percubaan minit akhir kena tiang pun melalui dia. Dia berganding cukup baik dengan Hidalgo, mereka bermain seperti apa saya harapkan.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.