Pengurusan, penyokong sebab utama Lee Tuck memilih kembali ke Terengganu FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas diketepikan Sri Pahang FC, Lee Tuck mendedahkan dia ada dihubungi beberapa pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya – baik pasukan Liga Super mahupun Liga Premier – namun dia membuat keputusan menyertai Terengganu secara pinjaman disebabkan pengalaman lalu yang cukup positif.

“Sebenarnya saya tidak terfikir untuk kembali semula ke Terengganu apatah lagi saya mempunyai misi yang tersendiri dengan pasukan baru pada musim baru, namun siapa sangka saya akan bermain secara pinjaman di Terengganu sehingga akhir musim ini.

“Saya begitu gembira dapat kembali semula beraksi dengan bekas pasukan walaupun mendapat tawaran daripada pasukan Liga Super dan Perdana, ini kerana saya ada banyak pengalaman di sana (Terengganu), termasuk bermain dengan rakan lama.

“Lagipun pengurusan pasukan itu antara yang terbaik sepanjang karier saya selain sudah ada pengalaman dan ditambah barisan jurulatih juga telah lama memahami corak permainan saya, ia juga cukup baik bagi keluarga saya lebih-lebih lagi ketika ini isteri sedang mengandung anak kedua, jadi saya mahukan persekitaran yang sudah biasa buat isteri tersayang.

“Selain itu para penyokong TFC adalah antara yang terbaik kerana sentiasa memberikan motivasi kepada pasukan, sebab itu saya memilih TFC,” kata pemain berasal dari England itu.

Lee Tuck menyertai Sri Pahang musim ini selepas tiga musim mewakili Terengganu FC, namun dia menjadi salah seorang daripada 4 import yang diketepikan pasukan itu yang membuat rombakan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia susulan prestasi buruk.

Dia masih berkontrak dengan Sri Pahang sehingga hujung 2022 dan difahamkan akan berstatus pemain naturalisasi pada tahun hadapan sekaligus boleh didaftar sebagai pemain tempatan.

Walaupun kecewa perjalanan bersama Sri Pahang hanya sekerat jalan musim ini, dia menerimanya dengan terbuka.

“Sebagai pemain bola sepak saya terima keputusan itu (diketepikan Sri Pahang) secara profesional.

“Impian saya sekarang sudah pastinya memenangi sekurang-kurangnya satu piala selain melangkah lebih jauh dalam saingan peringkat Asia walaupun sedar bukan tugas mudah untuk melakukannya.

“Tapi keyakinan diri perlu ada kepada semua pemain selain perlu bekerja keras dan semangat yang tinggi, saya percaya pasukan TFC adunan pemain muda dan berpengalaman ditambah tonggak import, skuad itu ada kualiti untuk memenangi piala ditambah dengan pengurusan yang bagus,” katanya.

Selain Lee Tuck, Terengganu FC turut mendapatkan khidmat Habib Haroun untuk memantapkan jentera tengah pasukan.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.