Pening paler, nak lawan sape pun tak tahu bohh

Nafuzi Zain
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Terengganu FC Nafuzi Zain mengakui masih belum ada idea mahu menguji kekuatan dengan pasukan mana, menjelang bersambungnya saingan Liga Malaysia.

Terengganu FC akan menjadi pasukan terawal turun padang pada 22 Ogos depan, di mana mereka akan terbang ke Lembah Klang untuk menentang PJ City, manakala 10 pasukan Liga Super lain akan beraksi pada 26 Ogos.

Dengan setiap pasukan telah diberi kebenaran boleh mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos, Nafuzi mengakui bukan mudah mendapatkan pasukan untuk ditentang kerana pilihan di pantai timur adalah terhad.

“Antara 2 Ogos hingga 22 Ogos, ada tempoh tiga minggu, kita boleh gunakan dua minggu untuk menguji pasukan dalam perlawanan persahabatan. Tiga atau empat perlawanan dalam tempoh itu mungkin dilihat ideal. Tapi ia bukan mudah untuk mengatur perlawanan di sini kerana pilihan tidak banyak di Kelantan dan Pahang. Dalam hal ini, pasukan Lembah Klang mempunyai kelebihan.

“Kita boleh terbang ke Lembang Klang untuk perlawanan persahabatan di sana tapi ia akan libatkan tambahan kos, alternatif lain yang ada kita akan lawan pasukan pembangunan Terengganu FC II. Tengoklah macam mana nanti,” katanya kepada thestar online.

Malaysian Football League dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu mereka menggalakkan setiap pasukan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan dari kalangan Liga Malaysia (Liga Super dan Liga Premier) sahaja kerana pasukan-pasukan ini telah mengadakan ujian swab test dan memahami SOP yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Nafuzi menepis tanggapan bahawa pasukannya mempunyai kelebihan untuk mengejar pasukan di kelompok teratas memandangkan mereka akan beraksi lebih perlawanan.

“Kita akan beraksi satu perlawanan lebih berbanding pasukan lain, pemain-pemain akan menjadi letih. Pasukan lain masih ‘fresh’ apabila turun pada 26 ogos, tapi kita sudah kehilangan sedikit tenaga, jadi ia bukan satu kelebihan,” ujar Nafuzi.

Ketika liga ditangguhkan pada bulan Mac lalu, Terengganu FC telah bermain tiga perlawanan iaitu tewas kepada Perak 1-3; menang ke atas Kedah 4-3 dan seri menentang Selangor 3-3.

Mereka mengumpul 4 mata dan menduduki tangga kelapan manakala JDT sedang menerajui liga dengan 10 mata, disusuli Perak dengan 8 mata dan Pahang di tangga ketiga dengan 6 mata.

Kredit foto : Terengganu Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.