‘Pentingkan populariti, besar kepala dan tidak dengar nasihat, ia satu kesilapan’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di temasya Sukan Asia 2006 gandingan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang turun sebagai bukan pilihan melakar kejutan sensasi apabila memenangi pingat emas dengan menewaskan pilihan kelima dari Indonesia Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto dalam perlawanan akhir.

Mereka mula digelar beregu emas, dan tiga bulan kemudian pada Mac 2017 pasangan itu menoktahkan pula penantian 25 tahun Malaysia untuk menjuarai acara beregu lelaki di kejohanan berprestij All England dengan menewaskan beregu no satu dunia ketika itu, Fu Haifeng/Cai Yun.

Banyak kejayaan lain kemudiannya menyusul, pasangan ini meniti kemasyuran namun kegemilangan mereka memuncak untuk tempoh singkat.

Mereka gagal mempertahankan kejuaraan di All England 2008 dan kemudiannya gagal melepasi suku akhir di Sukan Olimpik 2008, prestasi mereka merosot dengan begitu teruk, berlaku kemarau kejuaraan untuk tempoh lama, mula ditegur atas sikap yang tidak betul dan menjadi tumpuan atas sebab tidak betul.

Walaupun bangkit untuk berada di kedudukan nombor satu dunia pada 2010 malah muncul naib juara Kejohanan Dunia serta menang emas Sukan Komanwel, tetapi ia juga bersifat sementara.

Kien Keat/Boon Heong layak ke final Sukan Asia namun gagal pertahankan emas, dengan layak ke separuh akhir Olimpik 2012 menjadi pengakhiran kepada dominasi mereka sebagai pasangan nombor satu negara.

Apa yang berlaku, Boon Heong memberitahu ia adalah kerana sikap mereka sendiri yang hanyut dalam dunia glamour.

“Rexy (Mainaky) seorang jurulatih yang bagus dan membentuk disiplin pemain. Cuma, ketika muda, kami lebih pentingkan populariti sehingga mengganggu disiplin.

“Sewaktu kami menduduki ranking pertama, kami tidak mendengar nasihat dan ia merupakan kesilapan kami. Kami lupa diri dan impaknya cukup besar pada prestasi kami,” ujar Boon Heong dipetik dari Stadium Astro.

Kien Kieat dan Boon Heong 'Pentingkan populariti, besar kepala dan tidak dengar nasihat, ia satu kesilapan'

Mengenai hubungannya dengan Kien Keat, Boon Heong yang mempunyai akademi sendiri (Akademi TBH) berkata :

“Di luar gelanggang kami sekadar kawan biasa. Saya rasa kebanyakan pemain beregu lelaki, bukan sahaja dari Malaysia tetapi dari negara luar seperti China atau Indonesia, mereka bukan kawan yang baik.

“Mereka berkawan biasa tetapi saya sentiasa menghormati Kien Keat walaupun kadangkala ada bertengkar mengenai corak permainan masing-masing.”

Selepas berakhir era Kien Keat-Boon Heong, lahir pula gandingan Gov V Shem-Tan Wee Keong yang muncul pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016. Mereka juga tidak bertahan lama dan antara gandingan yang sedang meningkat naik dalam kem negara ketika ini adalah Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mara ke final All England 2019 dan menang pingat emas Sukan Sea 2019.

Dalam pada itu, Kien Keat yang kini merupakan Pengarah Prestasi Tinggi Badminton Asia pula memberi nasihat kepada pemain-pemain muda yang bercita-cita tinggi supaya tidak dibuai dengan pujian yang diberikan termasuk daripada pihak media.

“Saya masih ingat dulu semua nak jadi macam kami, nasihat saya belajar dari kesilapan kami lakukan. Mereka perlu bekerja keras kerana setiap kali selepas satu-satu kemenangan pihak lawan akan mengkaji permainan mereka.

“Situasi ini menjadikan mereka lebih sukar untuk memenangi setiap perlawanan. Namun, jika terus kekal positif dan yakin, permainan mereka pasti akan meningkat ke tahap lebih tinggi,” kata Kien Keat.

#LabolaMalaya

Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.