“Penubuhan Badan Siasatan Bebas Bukti FAM Siasat Kegagalan Secara Adil” – Faithal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dianggotai individu-individu luar bagi mengetuai bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, dianggap wajar dan adil oleh pensyarah kanan di Universiti Malaya, Dr Mohamad Faithal Hassan.

Sebagai ahli akademik Sains Sukan, Dr Mohamad Faithal menjelaskan beliau menggunakan ‘wajar’ berbanding tindakan yang baik disebabkan ia langkah yang bukan untuk mengaburi kesilapan FAM sebaliknya ia untuk mengenalpasti kelemahan pasukan kebangsaan di Singapura.

Beliau turut memberi pandangan tidak seharusnya timbul soal ‘last minute’ atau terdesak dalam penubuhan badan siasatan bebas ini kerana Piala AFF baru sahaja tamat kira-kira dua minggu lalu.

“Apa yang penting ketika ini wujud badan individu luar daripada FAM dalam mengemudi bedah siasat.

“Apatah lagi, kegagalan Harimau Malaya mengecewakan penyokong dan bagi saya, langkah ini adil terutama dalam menebus ketidak puas-hatian penyokong di luar sana.

“Namun perlu ditekankan, proses (bedah siasat) ini hakikatnya bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi lebih kepada mengenal pasti kesilapan dan kelemahan pasukan untuk kita perbaiki di masa akan datang khususnya untuk jangka masa panjang,” katanya.

Dr Mohamad Faithal menambah keputusan FAM melantik bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan, untuk mengetuai badan siasatan bebas ini juga adalah langkah bijak ekoran beliau berprofil tinggi serta berpengalaman dalam bola sepak.

Datuk Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas yang terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Pada pandangan saya, yang pertama baik untuk beliau mengambil bekas pemain yang tidak terlalu lama meninggalkan dunia bola sepak kerana jika terlalu lama kemungkinan mereka mempunyai daya pemikiran yang berbeza kerana peredaran masa.

“Kedua, untuk beliau mengambil ahli akademik untuk menyokong dari segi psikologi serta pengetahuan bola sepak manakala yang ketiga, ialah dari kalangan bekas jurulatih yang boleh memberi pandangan saksama dari sudut kejurulatihan,” katanya.

Dr Mohamad Faithal berkata, dengan adanya badan siasatan bebas ini mampu meredakan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong dan warganet.

“Kini terbukti bedah siasat dikemudi secara adil dan bukan sekadar orang dalaman FAM.

“Langkah ini sangat wajar terutama dalam kita mencari jalan perbaiki kelemahan pasukan kebangsaan untuk berdepan kelayakan Piala Asia 2023 nanti,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.